KKM sahkan kesan satu kes positif Mpox semalam - KP Kesihatan

KUCHING-- Satu kes baharu positif Mpox di Malaysia melibatkan seorang lelaki tempatan yang telah disahkan semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Jelasnya, kes itu daripada 58 kes disyaki mpox yang telah dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tahun ini.

"Daripada jumlah itu, satu kes telah disahkan positif mpox clade II pada 16 September 2024. 

"Dengan itu juga, semua 10 kes di Malaysia sejak 26 Julai 2023 sehingga kini adalah daripada clade II sahaja," katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut kes itu, Dr Muhammad Radzi berkata, pesakit tersebut merupakan seorang lelaki warganegara yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak, dan batuk pada 11 September, manakala ruam mula muncul pada 12 September.

Jelasnya, pesakit tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul, kini sedang dalam isolasi, dan berada dalam keadaan yang stabil. 

"Semua kontak bagi pesakit ini sedang dikenalpasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat," tegasnya.

Bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan membolehkan orang ramai memainkan peranan dengan meningkatkan kawalan kesihatan kendiri katanya, KKM meneruskan hebahan kepada orang ramai melalui pelbagai saluran media massa dan media sosial. 

"Orang ramai juga boleh mengambil langkah seperti berikut; individu berisiko tinggi yang bergejala mpox seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam/lepuh perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat; elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu yang disyaki atau disahkan dijangkiti mpox termasuk hubungan seksual; dan mengamalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman (hand sanitiser).

Selain itu, katanya pengamal perubatan di barisan hadapan juga perlu terus peka terhadap individu bergejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi. 

Tambahnya, bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah/serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox. 

"Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah pencegahan dan kawalan dapat dijalankan," ujarnya.

Mengenai mpox, beliau menjelaskan ia adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus monkeypox (MPVX). 

Menurutnya, jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox. 

"Gejala mpox adalah demam berserta ruam makula papular atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.

"Tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala adalah antara lima (5) ke 21 hari dari pendedahan kepada jangkitan. 

"Individu yang positif mpox boleh menjangkiti orang lain antara sehari sebelum gejala muncul sehingga semua lepuh telah kering serta tanggal sepenuhnya. 

"Lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus," jelasnya.

Mpox telah diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern - PHEIC) buat kali kedua pada 14 Ogos 2024 berikutan penularan clade Ib virus ini yang lebih pantas di Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara-negara jiran di rantau Afrika.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengaktifkan Bilik Gerakan mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan pada 16 Ogos 2024. 

CPRC Kebangsaan terus memantau situasi mpox serta menyelaraskan langkah-langkah kesiapsiagaan dan respon yang berkenaan.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti akaun-akaun media sosial KKM untuk mendapatkan kemaskini yang tepat.
Next Post Previous Post