Kes anggota tentera maut terkena tembakan: Waris mangsa di Sarikei sudah dimaklumkan

KUCHING-- Waris anggota tentera yang meninggal dunia akibat terkena tembakan peluru sesat yang berada di Sarikei ketika ini telah dimaklumkan berhubung kejadian malang itu.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Tentera Darat yang mengesahkan mangsa adalah anggota tentera berkata rancangan pengurusan jasad mendiang akan disempurnakan selepas proses bedah siasat selesai.

"Pihak waris yang berada di Sarikei telah dimaklumkan dan lokasi pengebumian akan dimaklumkan kemudian. 

"Tentera Darat Malaysia (TDM) mengucapkan salam takziah kepada waris dan ahli keluarga mangsa dan mendoakan semoga diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, dalam insiden itu mangsa merupakan anggota dari formasi 9 Briged, Sibu dilaporkan telah meninggal dunia setelah
terkena tembakan yang tidak dikenal pasti hari ini. 

"Ketika kejadian, anggota sedang melaksanakan latihan di kawasan am Song, bermula pada 21 hingga 29 September 2024 melibatkan kawasan am Kanowit - Nanga Dap - Song dan berkekuatan satu Kompeni.

"Pada 23 September 2024 (hari kedua latihan) jam lebih kurang 2.45 pagi, sewaktu sedang berehat (berlabuh), Platun telah mendengar bunyi motosikal melalui jalan tidak berturap (jalan balak) berdekatan lokasi mereka berlabuh. 

"Secara tiba-tiba, kedengaran bunyi tembakan yang dipercayai datang dari arah motosikal berkenaan," katanya. 


Tambahnya, curiga dengan tembakan tersebut, pemeriksaan perimeter dilaksanakan serta-merta dan mendapati seorang anggota telah cedera akibat tembakan tersebut.

Susulan itu, katanya, anggota telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada jam 4.00 pagi. 

"Seterusnya anggota telah dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjutpada jam lebih kurang 5.00 pagi. 


"Namun begitu, dukacita dimaklumkan bahawa anggota telah disahkan meninggal dunia pada jam 7.43 pagi di Hospital Kapit akibat kecederaan yang dialami," ujarnya.

Tegasya lagi, berikutan itu satu laporan polis telah dibuat dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melaksanakan siasatan. 

"Sehubungan itu, asyarakat diingatkan agar tidak menularkan sebarang gambar atau maklumat berkenaan insiden tersebut. 

"Berilah ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan sekali gus menghormati waris dan ahli keluarga yang berdukacita dengan insiden ini," katanya.
Next Post Previous Post