Kes anggota tentera maut ditembak: Dua suspek ditangkap bersama senapang patah, peluru
KUCHING-- Dua lelaki tempatan ditangkap disyaki terlibat kes anggota tentara maut akibat terkena tembakan di kawasan hutan Song pada Isnin.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, kedua-dua suspek berusia 31 tahun ditangkap Pasukan Siasatan Khas yang ditubuhkan.
"Polis turut merampas selaras senapang patah dan peluru jenis penabur.
"Kedua-dua suspek tersebut didapati menjalankan aktiviti memburu secara haram dan salah seorang telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka binatang liar," katanya pada sidang media di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
Tambah Mancha, permohonan tahanan reman akan dibuat ke atas kedua-dua suspek di mahkamah.
"Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Pihak polis masih meneruskan siasatan secara menyeluruh dari pelbagai sudut untuk melengkapkan kertas siasatan," tegasnya.
Mengulas kejadian itu, Mancha berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu sekitar jam 6 pagi pada 23 September lalu.
Jelasnya, polis telah menerima maklumat kejadian seorang anggota tentera cedera terkena tembakan rambang semasa sedang menjalani latihan di kawasan hutan Jalan Multipass Link, Song.
"Kejadian dianggarkan berlaku pada jam 2.45 pagi pada hari yang sama.
"Mangsa lelaki berpangkat koperal berumur 29 tahun yang cedera terkena tembakan di bahagian pinggang dan paha sebelah kiri kemudian dikejarkan ke hospital kapit untuk menerima rawatan.
"Namun disahkan telah meninggal dunia pada jam 7.43 pagi pada hari yang sama," katanya.
Menurutnya, bedah siasat ke atas mayat mangsa telah mengesahkan punca kematian adalah luka tembakan di bahagian kiri belakang badan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan kepada orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini.
"Sebarang maklumat berkenaan kejadian ini boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat ASP Balie Jelian di talian 011-10702264, 084-777545 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," ujarnya.