Kerajaan Sarawak peruntuk RM100 juta, perkasakan teknologi dan penjagaan kesihatan luar bandar

KUCHING— Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memperuntukkan RM100 juta bagi membina klinik dan kemudahan kakitangan perubatan khususnya di pedalaman Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif penting itu untuk meningkatkan penjagaan kesihatan di negeri ini, khususnya di kawasan luar bandar.

Jelasnya, peruntukan itu berbentuk pinjaman sementara sebelum kerajaan Persekutuan membayar semula jumlah tersebut.

"Langkah ini diambil bagi memastikan doktor dan jururawat yang bertugas di klinik-klinik pedalaman mempunyai tempat tinggal yang selesa selain daripada kemudahan klinik itu sendiri.

"Timbalan Menteri Kesihatan memaklumkan kepada saya bahawa klinik telah dibina di kawasan pedalaman, namun petugas kesihatan memerlukan tempat tinggal yang baik.

"Oleh itu, kami bersetuju untuk meminjamkan RM100 juta tahun ini kepada pusat perubatan bagi membina kuarters tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-64 Majlis Perubatan Malaysia (MMA) cawangan Sarawak di sini pada Khamis.

Tambah Abang Johari, inisiatif ini akan diteruskan selagi kerajaan mampu menyediakan fasiliti terbaik bagi masyarakat luar bandar

Dalam pada itu, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan pelaksanaan Pautan Digital Hospital di negeri ini.

Jelas beliau, inisiatif ini membolehkan semua hospital dalam negeri ini saling berhubung melalui satu aplikasi digital.

“Ini bermakna jika seseorang pergi ke Hospital Umum Kuching, rekod mereka sudah ada, contohnya jika pesakit berasal dari Sibu, hospital Sibu boleh mengakses rekod mereka terus melalui aplikasi ini.

"Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian jumpa saya dan telah berbincang dengan Pengarah mengenai pautan digital ini, saya tanya berapa jumlah diperlukan, dan jawapannya ialah RM10 juta untuk membangunkan aplikasi ini. Jadi minggu lepas, kita telah meluluskan peruntukan tersebut,” ujarnya.

Menurutnya lagi, dengan pelaksanaan sistem ini, rekod perubatan pesakit dari mana-mana hospital akan dapat diakses secara terus oleh hospital-hospital lain di Sarawak.

"Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif digitalisasi perkhidmatan awam di Sarawak yang akan meningkatkan kecekapan serta kualiti perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan pedalaman," tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Lukanisman Awang Sauni, Presiden MMA, Dr Azizan Aziz, Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah dan Pengerusi MMA cawangan Sarawak, Dr Liew Shan Fap.
Next Post Previous Post