Kemalangan sebabkan dua petugas KKM parah: Polis tahan pemandu treler
KUCHING-- Polis menahan seorang pemandu treler ditahan susulan kemalangan yang menyebabkan dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cedera parah, yang berlaku di Kilometer 46 Sri Aman/Sarikei, Jalan Memaloi, Sri Aman awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie berkata, pemandu treler, lelaki tempatan berusia 54 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan tersebut.
"Pemandu treler telah ditahan dan dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman untuk ditindakan.
"Kes masih disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tegasnya dalam kenyataan pada Isnin.
Difahamkan, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 4 pagi itu membabitkan treler yang dipandu lelaki terbabit yang rosak dan diparkir di bahu jalan dengan sebuah ambulans KKM.
Mathew berkata, polis menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 6 pagi.
"Maklumat awal kemalangan itu melibatkan sebuah treler yang rosak dan diparkir di bahu jalan serta telah diletakkan tanda segi tiga dengan jarak kurang 50 meter dari belakang lori dan lampu hazard turut dinyalakan.
"Bahagian kanan di belakang kenderaan berat itu tiba-tiba dilanggar oleh sebuah sebuah van ambulans Hospital Betong yang dalam perjalanan balik setelah menghantar pesakit ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching," jelasnya.
Tambahnya, akibat perlanggaran itu, dua mangsa iaitu pemandu dan jururawat yang berada dalam van ambulans berkenaan cederaan parah.
"Pemandu ambulans lelaki berusia 45 tahun mengalami kecederaan dalaman manakala seorang jururawat wanita berusia 42 tahun retak pada bahagian muka, patah tangan kiri dan kaki kiri," katanya.
Manakala pemandu treler katanya tidak mengalami kecederaan.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bergegas ke lokasi setelah menerima laporan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi.