Kemalangan motosikal, Myvi: Lelaki warga asing cedera parah disahkan meninggal dunia

KUCHING-- Seorang lelaki warga asing cedera parah selepas motosikalnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Datuk Bandar Mustapha di sini, malam tadi disahkan meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Umum Sarawak.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, penunggang motosikal berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di wad kecemasan pada jam 11.35 malam tadi.

Jelasnya, kemalangan itu dipercayai berlaku sekitar jam 9.30 malam melibatkan sebuah motosikal ditunggang lelaki warga asing terbabit dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

"Perlanggaran berlaku disebabkan oleh Perodua Myvi yang dalam proses membelok masuk ke simpang sebelah kanan telah dilanggar motosikal yang ditunggang mangsa yang bergerak lurus dari arah bertentangan. 

"Penunggang motosikal tersebut telah mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di wad kecemasan oleh doktor Hospital Umum Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu atau merbahaya sehingga menyebabkan kematian yang boleh membawa hukuman penjara selama 10 tahun dan denda sebanyak RM50,000 jika disabit kesalahan. 

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Charlie Aloysius di talian 014-8682068 dan di talian 082-259900 BSPTD Kuching atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

"Orang ramai adalah dinasihati supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu serta mematuhi undang-undang jalan raya untuk mengelakkan kemalangan berlaku serta faktor-faktor lain yang diluar jangkaan," ujarnya.
Next Post Previous Post