Ke arah jadikan Sarawak "Bavaria" di Malaysia

KUCHING— Sarawak mengambil langkah berani mengubah pembangunannya untuk menjadi seperti Bavaria di Jerman dengan kuasa ekonomi utama di Malaysia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Bavaria merupakan salah satu daripada dua wilayah dalam Kesatuan Eropah (EU) yang menentukan masa depan kesatuan itu.

“Jerman adalah sebuah persekutuan, tetapi Bavaria kuat. Jadi, mengambil contoh ini, dengan kelebihan dari segi kekuatan ekonomi kita, menjadi harapan saya agar Sarawak sendiri akan menjadi seperti Bavaria," katanya dipetik dalam laporan Channel News Asia (CNA).

Dalam temu bualnya bersama CNA, Sarawak, dengan rizab minyak dan gas yang banyak, sedang mengorak langkah besar.

Malah, baru-baru ini Sarawak telah menuntut semula Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan Persekutuan, memperoleh syarikat penerbangan serantau MASwings daripada Malaysia Airlines, dan berada di ambang mengambil kepentingan dalam Affin Bank.

Langkah strategik ini adalah sebahagian daripada visi Premier yang lebih luas untuk memajukan landskap ekonomi dan kewangan Sarawak.

Menurut Abang Johari dalam temu bual Ogos, perkembangan ini bukan sahaja meletakkan Sarawak untuk pertumbuhan masa depan tetapi juga memperkasakannya untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyatnya.

Susulan kekalahan bersejarah Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2018, empat parti negeri itu keluar daripada gabungan itu dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS), dipimpin Abang Johari. Langkah ini telah mendorong Sarawak ke dalam tempoh kemajuan yang pesat.

Malah, Sarawak berada di titik peralihan penting iaitu ia perlu memisahkan pertumbuhan ekonominya daripada penggunaan tenaga dan sumber yang tidak lestari.

Peralihan ini tidak akan berlaku dengan sendirinya kerana ia memerlukan Sarawak untuk mengamalkan dasar ekonomi hijau untuk memacu peralihan, katanya.

Menurutnya, dasar itu memberi tumpuan kepada beberapa objektif utama termasuk memastikan komitmen penuh untuk melindungi biodiversiti dan sumber semula jadi yang unik.

“Daripada mengganggap alam semula jadi sebagai sesuatu yang boleh dipergunakan, kita harus melihatnya sebagai modal semula jadi untuk dilabur bagi perlindungan dan pemuliharaan.”

“Kami komited untuk memupuk pertumbuhan inklusif melalui penggunaan sumber lestari serta memastikan pertumbuhan ekonomi kami tidak akan menyebabkan penggunaan sumber yang berlebihan dan pelepasan gas rumah hijau yang tinggi,” katanya menerusi ucap tama beliau pada Forum Perniagaan Australia-ASEAN 2024 di Sydney, Australia, pada Ogos lalu.

Peralihan Sarawak kepada ekonomi hijau bergantung besar kepada tenaga lestari dan untuk itu katanya, Sarawak telah menetapkan sasaran tinggi untuk mencapai campuran tenaga boleh baharu sebanyak 10 gigawatt menjelang 2030 atau matlamat ‘102030’.

Sasaran Pendapatan

Premier Sarawak juga menyatakan bahawa hasil Sarawak untuk 2024 dijangka melebihi RM13.3 bilion yang dikutip tahun lepas.

Sarawak juga telah menubuhkan tabung kekayaan negara sendiri dan merancang untuk membina lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching untuk meningkatkan kesalinghubungan.

Selain itu, Sarawak juga sedang mengorak langkah untuk mengukuhkan statusnya sebagai salah satu negeri paling penting di Malaysia, kini sedang berunding dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk mendapatkan semula haknya sebagai pembeli dan penjual tunggal gas asli yang dihasilkan dalam negeri ini.

Langkah ini mungkin mempunyai implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan Persekutuan dan mencerminkan dorongannya yang lebih luas untuk meningkatkan autonomi dalam Malaysia.

Memandang ke hadapan, Abang Johari menyasarkan Sarawak menjadi penyumbang kedua terbesar kepada KDNK Malaysia menjelang pilihan raya negeri akan datang, yang dijadualkan pada 2026.

Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia yang dikeluarkan pada Julai menunjukkan Sarawak menyumbang 9.1 peratus kepada KDNK pada 2023, menduduki tempat keempat selepas Selangor (25.9 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (15.9 peratus), dan Johor (9.5 peratus).

Abang Johari berkata, Sarawak berhasrat untuk mengikuti contoh negara-negara yang telah banyak melabur dalam infrastruktur untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

“Apa yang Sarawak lakukan sekarang adalah untuk meningkatkan infrastruktur kami, kerana kami mempunyai kekuatan, termasuk tenaga, dan kami membina ketersambungan domestik dalaman kami.

“Kami mendapat pelaburan ke Sarawak, dan faedahnya akan dikongsi dengan pelabur serta kerajaan Sarawak atau, dalam hal ini, Sarawak secara keseluruhannya,” katanya.

Abang Johari menekankan bahawa pembangunan pesat Sarawak dan matlamat bercita-cita tinggi tidak harus ditafsirkan sebagai dorongan untuk keluar Malaysia.

Beliau menolak gesaan daripada beberapa aktivis yang menyokong Sarawak meninggalkan Malaysia kerana kecewa dengan apa yang mereka anggap sebagai kemajuan yang tidak mencukupi oleh kerajaan Persekutuan dalam memulihkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963. Perjanjian ini menjadikan Malaysia dengan Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi yang sama rata bersama Tanah Melayu.

“Sudah tentu, kerajaan Persekutuan juga mengakui bagaimana kita mentadbir negeri dan bagaimana kita bergerak ke hadapan. Ia tidak bermakna ada desakan untuk kami — sesetengah (mempunyai) persepsi — (pergi) sendiri,” Abang Johari dipetik sebagai berkata.

Visi Basmi Kemiskinan Menerusi Pendidikan

Pada Disember 2023, Abang Johari mengumumkan bahawa pendidikan tinggi percuma di universiti milik kerajaan akan disediakan untuk rakyat Sarawak mulai 2026. Inisiatif ini, yang pertama kali dicadangkan oleh Abang Johari sebagai sebahagian daripada ucapan semasa ulang tahun kelahirannya pada Ogos 2022, bertujuan untuk menangani cabaran pendidikan untuk anak Sarawak.

"Untuk mana-mana negara membangun, anda memerlukan sumber manusia yang berkualiti, dan di situlah saya fikir dengan pendidikan yang baik anda boleh mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan," katanya kepada CNA.

"Jika anda tidak mempunyai keupayaan untuk menyediakan yuran (tuisyen) kepada mereka… Itu adalah satu kerugian kepada negara. Jadi, memandangkan kita ada rezeki, kenapa tidak kita berkongsi dengan mereka?” katanya.

Beliau percaya pendekatan ini bukan sahaja akan membantu mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan tetapi juga mengukuhkan ekonomi dalam jangka masa panjang.

"Itu akan menjadi pendekatan untuk kita mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan, dan itu juga akan mengukuhkan ekonomi kita dalam jangka panjang," tambahnya.

Inisiatif ini dilaksanakan di lima universiti milik kerajaan, iaitu, Curtin University Malaysia Kampus Sarawak, Swinburne University of Technology Kampus Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak, dan i-CATS University College.

CNA berkata media tempatan telah melaporkan bahawa kira-kira 25,000 pelajar di seluruh universiti milik kerajaan dan institusi pengajian tinggi ini boleh mendapat manfaat daripada dasar baharu ini, yang dijangka menelan belanja kerajaan sehingga RM625 juta setahun.

Bagaimanapun, kerajaan Sarawak telah menyatakan bahawa inisiatif pendidikan percuma akan dihadkan kepada bidang sains dan teknikal tertentu.

Keputusan ini sejajar dengan matlamat pembangunan negeri dan bertujuan untuk menggunakan sumber yang paling cekap.

Abang Johari memberitahu kepada CNA bahawa program bersubsidi mungkin memberi tumpuan kepada bidang seperti aeroangkasa, teknologi semikonduktor, dan tenaga hijau, yang penting untuk membekalkan profesional mahir kepada industri yang memacu pertumbuhan ekonomi.

Tambahnya, Sarawak bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk membawa masuk tenaga pengajar berkebolehan dalam bidang ini.

“Malah (kawasan) tenaga hidrogen boleh diperbaharui adalah baharu, jadi kami memerlukan ramai orang yang berpengetahuan dalam ekonomi baharu ini, kerana kami memberi tumpuan kepada ekonomi hijau,” katanya.

Tenaga Hijau

Seterusnya, Premier Sarawak memaklumkan CNA bahawa Sarawak telah mencapai status karbon-negatif hasil campuran penjanaan kuasa 70 peratus hidro dan 30 peratus gas. Pencapaian ini meletakkan negeri ini untuk menyediakan tenaga boleh diperbaharui kepada rantau ini.

Sarawak berhasrat memasang panel solar terapung di empat empangannya, yang berpotensi menjana 15 gigawatt tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035 — jauh melebihi permintaan tempatan.

Abang Johari juga menyebut bahawa Sarawak telah membekalkan kuasa ke Kalimantan Barat Indonesia sejak lima tahun lalu dan merancang untuk melanjutkan bekalan ini ke Sabah, Brunei, dan Singapura. Ini meletakkan Sarawak sebagai pemain utama dalam grid elektrik Asia Tenggara yang berpotensi.

Menurut laporan BERNAMA pada Mei lalu, projek sambungan bekalan elektrik Sarawak-Singapura dijadualkan untuk memulakan operasi komersial menjelang 2031, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi. 

Beliau berkata projek itu kini dalam fasa penyelidikan teknikal, termasuk meninjau laluan untuk kabel dasar laut. Inisiatif ini bertujuan untuk mengeksport sehingga 1 gigawatt tenaga boleh diperbaharui dari Sarawak ke Singapura.

Sebagai pertukaran, Sarawak telah mencadangkan Singapura melabur dalam projek seperti pusat data dalam negeri itu. Abang Johari juga mendedahkan kepada CNA bahawa Singapura akan bertanggungjawab memasang kabel dasar laut yang menghubungkan Kuching ke negara pulau itu.

Pihak berkuasa Pasaran Tenaga Singapura memaklumkan CNA bahawa ia masih belum memberikan kelulusan bersyarat untuk pelan import elektrik dari Sarawak dan tidak dapat memberikan butiran lanjut kerana sensitiviti komersial.

Pihak berkuasa kini sedang berbincang dengan "pihak berkaitan" dan akan terus berhubung dengan syarikat yang mengemukakan cadangan "boleh dipercayai dan berdaya maju secara komersial" untuk menyokong matlamat penyahkarbonan Singapura, menurut seorang jurucakap.

Bekalkan Tenaga Ke Kalimantan

Abang Johari juga menyatakan bahawa Sarawak berhasrat untuk memperluaskan bekalan kuasanya ke seluruh wilayah Kalimantan, termasuk Kalimantan Timur di mana ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, sedang dibangunkan.

Sarawak sudahpun memegang 25 peratus kepentingan dalam loji hidroelektrik di Kalimantan Timur, yang penting untuk menjana kuasa kawasan itu. 

Abang Johari menambah bahawa Sarawak bekerjasama dengan Indonesia untuk meneroka peluang ekonomi selanjutnya.

"Kami juga merancang untuk mempunyai lapangan terbang antarabangsa yang lebih baharu di Kuching yang akan melengkapkan apa yang boleh kami lakukan untuk Borneo," katanya sambil menekankan bahawa Nusantara hanya 30 minit penerbangan dari Kuching.

"Setakat hubungan kami dengan Indonesia, dengan Kalimantan Barat khususnya dan seluruh Kalimantan, terdapat platform bersama antara Indonesia dan pihak kami, dan ia berjalan dengan baik," ujarnya.

Sumber teks Channel News Asia
Next Post Previous Post