JPJ Serian "buat kerja" di Kota Samarahan-Asajaya- Sadong Jaya-Simunjan, 20 notis salah laku jalan raya dikeluarkan
SERIAN-- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bahagian Serian mengeluarkan 20 notis ketidakakuran di atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam Operasi Harian di sepanjang laluan Kota Samarahan-Asajaya- Sadong Jaya-Simunjan semalam.
Jurucakap JPJ Sarawak berkata, dalam operasi itu 155 buah kenderaan diperiksa.
"Daripada jumlah itu, JPJ Serian telah mengeluarkan 20 notis ketidakakuran diatas pelbagai kesalahan.
"Di antara kesalahan yang dikesan termasuklah tiada lesen memandu, membawa muatan secara bahaya, ubahsuai struktur kenderaan, kesalahan teknikal, serta penggunaan cermin gelap," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut operasi itu, katanya ia bagi memastikan pengguna jalan terus mengamalkan budaya pemanduan selamat di samping mendidik pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa semasa berada di jalan raya.
Sehubungan itu, tegasnya pengguna jalan raya adalah diingatkan agar sentiasa berhati-hati semasa berada di atas jalan raya dan mematuhi peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa.
"Untuk sebarang aduan trafik bolehlah disalurkan terus melalui aplikasi e-Aduan @jpj atau http://jpj.spab.gov.my beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.