Isu minyak dan gas di Sarawak: CNA dakwa Petronas mahu heret Sarawak ke mahkamah
KUCHING-- Sebuah portal berita, Channel News Asia (CNA) melaporkan dakwaan bahawa Petronas akan mengheret Sarawak ke mahkamah berhubung kemelut berkaitan minyak dan gas di negeri ini.
Laporan portal itu mendakwa tindakan itu bagi menghadapi tuntutan Sarawak untuk kawalan terhadap perdagangan dan pengekstrakan gas dan lain-lain berkaitan minyak di negeri ini.
Malah, CNA mendakwa mendapat pendedahan itu daripada seorang pegawai kerajaan yang rapat dengan situasi itu yang memaklumkan Petronas sedang mempertimbangkan untuk memfailkan injunksi mahkamah dalam beberapa hari akan datang untuk mengelak sebarang konfrontasi antara pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Sarawak.
Injunksi mahkamah itu bagi menghentikan sementara apa-apa tindakan yang boleh diambil Sarawak terhadap Petronas.
Katanya, peguam juga menyatakan bahawa melainkan kerajaan negeri memutuskan untuk menyambung semula rundingan dengan perbadanan minyak negara berhubung kawalan sumber asli, pertikaian itu boleh menjadi pertikaian di mahkamah sepenuhnya.
Sebelum ini, Sarawak telah memberi kata dua kepada Petronas untuk memuktamadkan perjanjian yang akan memberi negeri itu hak penuh ke atas pengawasan ke atas perdagangan minyak dan gas yang diekstrak dari negeri itu menjelang 1 Oktober.
“Tiada jalan tengah telah dicapai (antara Petronas dan Sarawak) dan pilihan pada ketika ini adalah untuk beralih kepada mahkamah,” kata seorang pegawai kanan kerajaan yang mengetahui perbincangan mengenai perkara itu antara Petronas dan Anwar bersama jawatankuasa penasihat ekonominya.
Pegawai itu, yang bercakap dengan CNA dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan memandangkan sensitiviti terbabit, menambah bahawa Anwar mahu tuntutan Sarawak diuruskan "di peringkat korporat dengan Petronas tanpa melibatkan Kerajaan persekutuan".
Sementara itu, CNA mendakwa Petronas enggan memberi kenyataan berhubung dakwaan tersebut.
Ditanya mengenai prospek mendapatkan ganti rugi di mahkamah, CNA juga mengatakan Petronas enggan memberi sebarang kenyataan.