Insentif RM15,000 untuk atlet para Sarawak raih pingat emas pada Para SUKMA 2024
KUCHING -- Atlet para Sarawak juga akan menerima insentif sebanyak RM15,000 jika berjaya memperolehi pingat emas pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI yang berlangsung 22 hingga 28 September ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, insentif yang ditawarkan untuk atlet para Sarawak bagi temasya sukan itu juga sama seperti yang diterima atlet SUKMA Sarawak.
"Sebagai suntikan moral, pemenang pingat Para SUKMA akan menikmati ganjaran sama seperti diterima oleh para atlet SUKMA.
"Para SUKMA kali ini akan memberikan insentif yang setara dengan SUKMA biasa, di mana setiap pemenang pingat emas akan menerima ganjaran sebanyak RM15,000.
“Selain itu, pemenang pingat perak juga akan menerima insentif sebanyak RM5,000 dan gangsa RM3,000," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Bendera Negeri kepada Ketua Kontinjen Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Hikmah Exchange Event Centre di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari optimis atlet para Sarawak dapat mencapai sasaran 83 pingat emas pada Para SUKMA XXI ini kerana barisan atlet para Sarawak cukup berdisplin dan berpotensi.
Tambahnya, sasaran 83 pingat itu ditetapkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak, dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dalam usaha merampas semula kejuaraan Para SUKMA.
“Jika sasaran 83 pingat emas tercapai, jumlah keseluruhan insentif yang akan diberikan mencecah lebih RM1 juta," jelasnya.
Selain itu, beliau memberitahu kerajaan Sarawak sentiasa memberi komitmen yang berterusan dalam menyokong usaha atlet para.
Malah, beliau turut menjelaskan peningkatan infrastruktur sukan di Sarawak termasuk fasiliti sukan di Sri Aman, Sibu, Bintulu, dan Miri yang telah dinaik taraf untuk memastikan Sarawak bersedia menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa.
“Selagi negeri kita makmur dan rakyat bersatu padu, kita akan terus maju membawa nama Ibu Pertiwi ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada atlet para yang telah menunjukkan usaha gigih dalam persiapan mereka menghadapi Para SUKMA 2024, sambil menyatakan keyakinannya bahawa mereka akan mengharumkan nama Sarawak di pentas kebangsaan.