Impian ambil alih Affin Bank tercapai, Sarawak miliki 31.25 peratus kepentingan

KUCHING-- Impian Sarawak untuk meningkatkan kepentingan dalam Affin Bank Berhad tercapai dengan termeterainya Perjanjian Jual Beli atau Sale Purchase Agreement (SPA) hari ini.

Perjanjian SPA itu ditandangani antara Kerajaan Sarawak melalui anak syarikat SGAssetfin Holdings Sdn Bhd bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Berhad yang disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dengan termeterai perjanjian itu, Kerajaan Sarawak kini menjadi rakan strategik terbesar dalam Affin Bank Berhad dengan pengambilalihan 31.25 peratus kepentingan dalam bank tersebut selepas Bank Negara Malaysia (BNM) meluluskan pegangan majoriti kerajaan Sarawak dalam institusi perbankan berkenaan. 

Sebelum ini, kerajaan Sarawak hanya memegang 4.81 peratus kepentingannya dalam AFFIN Bank. 

Abang Johari berkata langkah strategik ini menandakan satu langkah penting ke hadapan bagi Sarawak bersama-sama Affin Bank dalam menjadi pemain terkemuka dalam landskap perbankan Malaysia.

“Keputusan kami untuk melabur dalam Affin didorong oleh langkah strategik untuk mewujudkan platform kewangan bank yang kukuh dan cekap, yang penting untuk Sarawak ke arah meningkatkan potensi ekonominya yang besar," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Tambah Abang Johari, ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yang merupakan pelan komprehensif untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak.

“Justeru, dengan mempunyai bank yang menyokong memainkan peranan penting dapat mendukung kita untuk mencapai objektif PCDS 2030.

"Ini kerana kerjasama dengan Affin akan menjadi penting dalam memupuk pencapaian pelan pembangunan ini. 

"Affin boleh menjadi salah satu pemangkin kritikal untuk menyokong Sarawak dalam memenuhi agenda ekonominya yang mampan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa dengan memanfaatkan rangkaian dan kepakaran luas Affin, Sarawak akan dapat membuka peluang baharu, memudahkan akses kepada modal, dan memupuk keusahawanan dalam negeri.

“Bersama-sama, kita akan membina ekosistem kewangan yang memupuk inovasi, menggalakkan celik kewangan dan memperkasakan celik kewangan, dan membolehkan komuniti kita mencapai aspirasi mereka.

“Saya yakin dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi dan usaha kolektif rakyat kita, Affin akan berkembang maju dan menjadi mercu tanda kecemerlangan kewangan yang patut diterima oleh negara kita,” katanya.

Abang Johari juga menekankan kepentingan untuk mencapai segmen masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan, yang sering menghadapi halangan dalam mengakses perkhidmatan perbankan formal.

Oleh itu, beliau berharap Affin Bank akan melaksanakan strategi untuk merapatkan jurang ini dengan menawarkan akses mudah kepada perkhidmatan perbankan, penyelesaian pembiayaan mikro, dan program celik kewangan untuk memperkasakan individu dan perniagaan yang kurang mendapat perkhidmatan.

Selain itu, beliau memberitahu Affin Bank juga berperanan dalam menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang membentuk tulang belakang ekonomi negeri.

Jelasnya, rangkaian produk perbankan dan kepakaran Affin Bank dalam pembiayaan perdagangan dan pinjaman komersial menjadikannya rakan kongsi yang ideal untuk PKS yang ingin mengembangkan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Tambahnya, strategi Sarawak untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi tertumpu kepada mempelbagaikan sektor ekonomi, mengurangkan kebergantungan kepada sumber asli dan menarik pelaburan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang mampan.

“Affin boleh memainkan peranan penting dalam misi ini dengan menyokong pertumbuhan industri strategik kami secara aktif. 

"Sama ada usaha niaga berasaskan tani, pelancongan, pembuatan atau sektor dipacu teknologi, Affin boleh menyediakan alat dan panduan kewangan yang diperlukan untuk perniagaan berkembang maju,” ujarnya.

Pada masa sama Abang Johari memuji kemajuan Affin Bank, dengan menyatakan bahawa jumlah aset bank itu berjumlah RM108.2 bilion setakat suku kedua tahun ini, dengan matlamat strategik untuk hampir menggandakan angka itu kepada RM180 bilion menjelang 2028.

Kredit Gambar: Pejabat Premier Sarawak
Next Post Previous Post