Hasrat Sarawak miliki syarikat penerbangan sendiri dijangka jadi realiti hujung tahun ini

KUCHING-- Hasrat Sarawak untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri dijangka menjadi realiti akhir tahun ini.

Perkara ini dijelaskan Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sambil menambah, dengan adanya syarikat penerbangan sendiri akan memudahkan aktiviti pelancongan di negeri ini.

"Kita memerlukan pelancong datang ke Sarawak dan untuk ini mereka memerlukan sistem perhubungan yang terbaik.

"Justeru, menjelang akhir tahun ini kita mungkin mempunyai syarikat penerbangan sendiri sekali gus membolehkan kita membawa pelancong datang ke Sarawak," katanya .


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Night At The Museum di Muzium Budaya Borneo, di sini, malam ini.

Majlis itu dirasmi oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafat bersama isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Pada April lalu, Abang Johari dipetik berkata, syarikat penerbangan milik Sarawak dijangka mula beroperasi pada 2025.

Katanya, pada masa ini proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan negeri itu sedang berlangsung selepas dipersetujui secara prinsip oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Aviation Group.

"Apa yang berlaku kini ialah perbincangan mengenai aspek teknikal pengambilalihan tersebut. Saya jangka mungkin pada bulan Ogos atau selewat-lewatnya hujung tahun ini boleh selesai. Kita akan ada syarikat penerbangan kita sendiri pada 2025.

"Nama syarikat penerbangan juga sudah ada, tapi kita tidak boleh umum dulu," katanya.

Pada 23 November tahun lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil dilaporkan berkata, kerajaan negeri Sarawak sedang menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASwings Sdn Bhd sebagai persediaan mengambil alih syarikat penerbangan berkenaan.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, kerajaan Sarawak juga merancang untuk membina lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching yang akan menempatkan sehingga 15 juta penumpang.

Tambahnya, lapangan terbang itu akan dilengkapi kemudahan teknologi terkini dan menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar seperti hab antarabangsa utama seperti Doha.

“Lapangan terbang baharu akan dibina lebih moden, dengan proses mendaftar masuk yang lancar, membolehkan penumpang mendaftar masuk sekali sahaja sebelum menaiki penerbangan mereka.

“Ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun untuk disiapkan tetapi apabila beroperasi, ia akan memainkan peranan penting dalam menarik pelancong dan pelancong perniagaan ke Sarawak," jelasnya.

Justeru, beliau yakin Sarawak akan menjadi hab pusat bagi kedua-dua pelancongan dan penganjuran acara utama.
Next Post Previous Post