Hamzah 'kantoi' sebenarnya pernah berunding hal peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang

KUCHING-- Setelah berulang kali diajak berunding hal berkaitan peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang, Ketua Ketua Whip PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, kini dilihat mula bermain 'taktik play-victim'.

Malah, pada 15 September lalu, Hamzah menyifatkan draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan pembangkang didakwanya dibuat oleh satu pihak iaitu kerajaan semata-mata tanpa ada sebarang perbincangan.

Bagaimanapun, Hamzah pada 7 Disember tahun lepas dalam laporan Harian Metro mengakui ada berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof. 




Beliau dipetik berkata, beliau sudah beberapa kali berjumpa Fadillah, namun tiada persetujuan dicapai.

Disebabkan itu, beliau mencadangkan isu peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang perlu dirunding secara terus kepada Perdana Menteri Dato Sri Anwar Ibrahim bersama ketua pembangkang bagi mewujudkan keputusan yang berkesan.

Kenyataan ini jelas membuktikan Hamzah cuba memutar belit fakta dengan mendakwa pihak pembangkang tidak diajak berunding berhubung isu peruntukan tersebut.

Susulan tindakan pembangkang itu, Fadillah mendedahkan kandungan penuh draf Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang ditolak itu.

Beliau bertindak mendedahkan butiran kandungan draf MoU itu memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media.

Fadillah berharap tindakannya itu membuktikan ketelusan Kerajaan MADANI dan mahu mewujudkan suasana aman dan harmoni supaya semua Ahli Parlimen lebih fokus kepada usaha pemulihan ekonomi, selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang.

"Ini penting supaya semua pihak dapat menumpukan sepenuh tenaga dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua dan kemakmuran Malaysia.

"Dengan pendedahan MoU ini, rakyat sendiri boleh menilai bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang mengenai draf terbabit adalah tidak berasas sama sekali," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Fadillah dalam kenyataan itu menghuraikan enam perkara mengenai fraf MoU iaitu tempoh berkuat kuasa, obligasi Perikatan Nasional (PN), obligasi Kerajaan Persekutuan, ketelusan dan tiada kerahsiaan, pemakaian undang-undang dan pembatalan memorandum.

"Tempoh berkuat kuasa adalah dari tarikh MoU dan terpakai sehingga pembubaran Majlis Parlimen Ke-15 atau pada 19 Disember 2027 atau mana yang terdahulu.

"Obligasi PN pula ialah menyentuh mengenai peranan dan fungsi Ahli Parlimen Pembangkang sebagai komponen penting dan akujanji sebagai Ahli Parlimen pembangkang berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.

"Ia juga menyentuh pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen," jelasnya.

Obligasi Kerajaan Persekutuan pula, antara lain mengakui bahawa Ahli Parlimen pembangkang mempunyai peranan yang besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan dan institusi diraja, serta bertindak untuk semak dan imbang secara sah dan bertanggungjawab.

Berhubung ketelusan dan tiada kerahsiaan, memorandum berkenaan tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan.

Bagi pemakaian undang-undang, jelasnya, MoU ini hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia manakala aspek pembatalan memorandum pula ia secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut MoU ini. 

"Ini melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang," katanya.

Pada 18 April lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju mempertimbang penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang disusuli dengan penyerahan draf kepada PN, bulan lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Julai lalu dilaporkan, berkata isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak patut menjadi isu rumit diselesaikan kerana membabitkan syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.
Next Post Previous Post