Fasa Peralihan Monsun: Barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak bakal alami hujan lebat, angin kencang
KUCHING-- Kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak dijangka mengalami hujan lebat berserta angin kencang berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh susulan Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 24 September ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, fasa peralihan monsun itu boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Jelasnya, Fasa Peralihan Monsun itu dijangka bermula pada 24 September 2024 dan berterusan sehingga awal November 2024.
"Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei 2024.
"Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
"Situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak," katanya.
Tambahnya, keadaan cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Justeru, tegasnya, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.
"Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut," ujarnya.