Dua lelaki curi kanvas, besi sabit sawit di Lingga ditangkap
KUCHING-- Dua lelaki disyaki terlibat dalam kes curi di Lingga diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Pusa semalam.
Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie berkata, kedua-dua suspek berusia 28 tahun ditangkap sekitar jam 1 petang oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Sri Aman dalam Op Pintu.
"Hasil serbuan pasukan telah berjaya menangkap dua lelaki tempatan dan pemeriksaan di dalam rumah terbabit turut menjumpai barang kes curi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, barang kes yang dijumpai satu kanvas berwarna hijau dan dua batang besi galah sabit sawit.
Kata Mathew lagi, hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dengan kes yang disiasat.
"Mereka mengaku mencuri seunit kanvas dan dua batang besi galah sabit sawit di tempat kejadian di Lingga," katanya.
Tegasnya, kedua-dua suspek dibawa dan ditahan di lokap Balai Sri Aman untuk direman bagi siasatan lanjut.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Kesiksaan.