Dua bujang senang termakan pancing, gigi, tulang dan duit syiling ditemukan dalam perut
BINTULU-- Gigi, tulang dan duit syiling ditemukan dalam perut buaya yang ditangkap hari ini dalam operasi memburu buaya kawasan Sungai Annap, Batang Tatau yang dilancarkan Sarawak Forestry Corporation (SFC) semalam.
Operasi menangkap reptilia itu dilakukan susulan insiden kehilangan seorang kanak-kanak perempuan, Cicilia Julan Intik, 6 tahun, yang dipercayai dibaham buaya di Sungai Tatau, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis, dalam operasi itu, dua buaya bersaiz 17.5 kaki dengan berat 1.2 tan dan 17.39 kaki dengan berat 1.3 tan berjaya ditangkap masing-masing pada jam 9.30 pagi dan 1.20 petang hari ini.
"Penemuan buaya pertama ditangkap setelah termakan pancing yang dipasang sebelah hulu sungai (Sungai Sap, Tatau).
"Satu das tembakan telah dilepaskan ke arah buaya untuk melemahkan pergerakan buaya yang bertindak agresif dan kemudian ditunda ke Jeti Pasar Lama Tatau untuk tujuan bedah siasat oleh pihak SFC Bintulu.
"Setelah bedah siasat dijalankan, pihak SFC telah menjumpai beberapa cebisan ketulan dipercayai gigi dan tulang serta duit syiling," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, bedah siasat selesai dijalankan pada jam 12.15 tengah hari dan bangkai buaya dikeluarkan dari kawasan Jeti Pasar Lama dan dirujuk ke SFC Samalaju, Bintulu untuk tindakan seterusnya.
Tangkapan buaya kedua pula, kata Jame, melibatkan pancing yang dipasang sebelah hilir sungai berdekatan Rh. Gisa, Tatau.
Jelasnya, satu das tembakan telah dilepaskan ke arah buaya untuk melemahkan pergerakan buaya yang bertindak agresif.
Katanya, buaya tersebut berjaya ditunda ke Jeti Pasar Lama tatau untuk tujuan bedah siasat oleh pihak SFC Bintulu.
"Setakat ini, proses bedah siasat buaya kedua masih dijalankan dan menunggu keputusan awal bedah siasat," katanya.
Menurutnya lagi, ahli keluarga mangsa, Pegawai Daerah Tatau, Pegawai Penyiasat (OCS Tatau) dan anggota SFC Bintulu turut hadir ketika ini, proses bedah siasat dilakukan oleh pihak SFC Bintulu.
Dalam operasi memburu itu, pasukan mencari dan menangkap (SFC) melibatkan lima orang menggunakan dua bot dan lima anggota Bomba dibantu seorang anggota PDRM memantau dan melihat jerat (pancing) yang telah dipasang dengan jarak pemasangan umpan 5km hilir/hulu pasar Lama Tatau