Data pelajar Swinburne Sarawak antara dicuri dalam serangan siber

KUCHING-- Beberapa imbasan pasport, surat penyiapan dan permohonan pelajar milik Swinburne University of Technology Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) telah dicuri dalam insiden serangan siber ke atas universiti itu.

Swinburne University of Technology Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) dalam kenyataan media mengesahkan insiden itu dan telah mengambil tindakan segera untuk membendungnya.  

Jelas kenyataan itu, Swinburne sedang bekerjasama dengan pakar untuk memastikan butiran lanjut tentang kejadian dan melengkapkan siasatan forensik.

“Siasatan kami setakat ini telah mengesahkan bahawa beberapa imbasan pasport, surat penyiapan dan permohonan pelajar telah dicuri.

“Pada masa ini, kami gagal mengenal pasti berapa ramai pelajar mahupun pelajar mana yang terjejas akibat insiden tersebut,” katanya.

Tambah kenyataan itu, perkhidmatan sokongan sedang disediakan untuk pelajar dan kakitangan terjejas untuk membantu mereka pada masa ini.

Mengulas lanjut insiden serangan siber itu, katanya, pasukan sokongan Swinburne telah bertindak dengan cepat untuk menyelesaikan dan meminimumkan insiden keselamatan siber tersebut.

"Serangan siber ini juga telah dimaklumkan kepada Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer (CERT) Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan Malaysia. 

"Malah, sistem perniagaan teras universiti telah dipulihkan sepenuhnya tanpa memberi kesan selanjutnya kepada operasi," katanya.

Jelasnya, Swinburne Sarawak komited untuk mengukuhkan langkah keselamatan siber pihaknya untuk mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.

"Sistem IT Swinburne Sarawak adalah bebas daripada sistem Swinburne di Australia dan kampus Swinburne di Australia tidak terjejas oleh kejadian ini," ujarnya.
Next Post Previous Post