Dakwaan rundingan Petronas, Petros masih menemui jalan buntu adalah tidak tepat, tegas Abg Jo
KUCHING-- Dakwaan rundingan hak minyak dan gas antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bersama Kerajaan Sarawak menerusi Petroleum Sarawak Berhad (Petros) masih buntu adalah kurang tepat, tegas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau menjelaskan rundingan berhubung kawal selia pengagihan gas asli cecair (LNG) antara Kerajaan Sarawak dan Petronas masih berjalan Petronas kekal menjadi rakan strategik Sarawak.
"Sejak dua hari lepas banyak perdebatan mengenai perkara ini, namun ia kelihatan kurang tepat, kemungkinan disebabkan maklumat dan data yang kurang tepat.
"LNG masih ada, apa yang berlaku ialah Kerajaan Sarawak menerusi Petros dan di bawah Ordinan Pengagihan Gas, Petros diberi kuasa sebagai agregator gas tunggal di Sarawak yang sebelum ini dikawal selia oleh Petronas.
"Jadi kini rundingan bersama masih berjalan di antara kedua-dua pihak," katanya mengulas perdebatan mengenai laporan media baru-baru ini berhubung isu tersebut.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama yang bertajuk 'Memperkasakan Penyelesaian Perubahan Iklim Dalam Dunia Yang Berbeza' semasa Persidangan Petroleum Asia Pasifik (APPEC) 2024 di Raffles City Convention Centre, di Singapura, hari ini.
Pada masa sama Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak memiliki ekuiti dalam LNG dan tiada apa-apa yang berlaku dengan LNG.
Tambahnya, semua yang ditandatangani sebelum ini berkaitan perolehan, pembekalan dan pengedaran gas asli adalah masih berjalan.
Sebelum ini, sebuah portal berita, Channel News Asia (CNA) melaporkan dakwaan bahawa Petronas akan mengheret Sarawak ke mahkamah berhubung kemelut berkaitan minyak dan gas di negeri ini.
Laporan portal itu mendakwa tindakan itu bagi menghadapi tuntutan Sarawak untuk kawalan terhadap perdagangan dan pengekstrakan gas dan lain-lain berkaitan minyak di negeri ini.
Malah, CNA mendakwa mendapat pendedahan itu daripada seorang pegawai kerajaan yang rapat dengan situasi itu yang memaklumkan Petronas sedang mempertimbangkan untuk memfailkan injunksi mahkamah dalam beberapa hari akan datang untuk mengelak sebarang konfrontasi antara pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Sarawak.
Injunksi mahkamah itu bagi menghentikan sementara apa-apa tindakan yang boleh diambil Sarawak terhadap Petronas.
Sebelum ini, Sarawak telah memberi kata dua kepada Petronas untuk memuktamadkan perjanjian yang akan memberi negeri itu hak penuh ke atas pengawasan ke atas perdagangan minyak dan gas yang diekstrak dari negeri itu menjelang 1 Oktober.
“Tiada jalan tengah telah dicapai (antara Petronas dan Sarawak) dan pilihan pada ketika ini adalah untuk beralih kepada mahkamah,” kata seorang pegawai kanan kerajaan yang mengetahui perbincangan mengenai perkara itu antara Petronas dan Anwar bersama jawatankuasa penasihat ekonominya.
Pegawai itu, yang bercakap dengan CNA dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan memandangkan sensitiviti terbabit, menambah bahawa Anwar mahu tuntutan Sarawak diuruskan "di peringkat korporat dengan Petronas tanpa melibatkan Kerajaan persekutuan".