Dahulu urus restoran makanan segera, kini pemburu buaya demi keselamatan rakyat Sarawak, Brunei
KUCHING-- Perubahan alam akibat kesan rumah hijau yang dialami di seluruh dunia mengubah habitat hidupan liar termasuk reptilia ganas, buaya yang lebih dikenali dengan panggilan 'Bujang Senang' di Sarawak.
Kalau dahulu, reptilia ini hanya dijumpai di sungai-sungai di negeri ini namun, perubahan alam sekitar akibat kesan daripada pemanasan global, 'memaksa' spesis itu mencari habitat baharu, yang kini turut dijumpai di pantai dan laut.
Kesan daripada itu, timbul konflik antara manusia dan buaya baik di sungai mahupun di laut.
Prihatin dan sedar akan keadaan yang mengancam nyawa manusia, seorang pemburu buaya tempatan yang dikenali sebagai Chai Kian Jiew, 45, meninggalkan kerjaya 20 tahunnya sebagai pengurus restoran 24 jam yang popular di Sarawak.
Menerusi laporan Majoriti, Chai dipetik berkata, beliau tidak teragak-agak untuk memainkan peranan melindungi penduduk Sarawak daripada ancaman buaya, pada masa sama memastikan kelangsungan populasi haiwan ini di habitat semula jadinya.
Malahan beliau tidak pernah terfikir aktiviti memburu buaya itu akan menjadikan kerjaya baharunya.
Tanpa mempunyai pengetahuan dalam bidang tersebut, bekas pelajar jurusan teknologi sebuah universiti swasta tempatan itu memulakan syarikat menangkap buaya yang dikenali Sarawak Crocter.
Chai yang berasal dari Kuching, mempunyai dua anak, berkata, beliau terpanggil untuk melindungi komuniti daripada ancaman reptilia berkenaan selepas pengalamannya menyelamatkan seorang mangsa daripada serangan buaya pada 2017.
Jelasnya, ia menjadi titik tolak kepadanya untuk nekad meneruskan hasrat tersebut.
Beliau yang juga Ketua Perhubungan Rela Kawasan (KPRK) Desa Ilmu dekat Samarahan berkata, bermula menangkap buaya selepas berlaku beberapa serangan di kawasan setempat.
"Pada waktu itu tidak ramai yang berani berdepan dengan buaya. Semua takut, saya pun takut tetapi kalau bukan saya siapa lagi yang mahu tolong. Jadi, keselamatan penduduk menjadi tanggungjawab saya," katanya.
Tambahnya, semua buaya yang ditangkapnya berpotensi menjadi agresif dan pelbagai teknik digunakan untuk menangkap reptilia itu.
"Saya bersama rakan sepasukan perlu menggunakan pelbagai teknik untuk menangkap buaya secara selamat kerana makhluk ini mampu membunuh dengan satu gigitan.
"Setiap situasi memerlukan pendekatan berbeza. Menangkap buaya di sungai, di atas perahu, berbeza dengan menangkapnya di darat," jelasnya.
Dalam pada itu, Chai tetap berpegang teguh pada prinsip untuk bersikap tenang dan menggunakan teknik yang betul dan berpendapat semua buaya adalah ganas kerana mereka akan mempertahankan diri apabila ditangkap.
"Apatah lagi, di sesetengah lokasi, pihaknya tidak dibenarkan menggunakan senjata api sekali gus menjadikan tugas itu lebih mencabar.
"Jika saiz buaya kecil, individu yang berpengalaman boleh menangkapnya sendirian. Namun, buaya yang lebih besar memerlukan lebih banyak bantuan dan kelengkapan," tambahnya.
Kongsinya lagi, pengalaman paling mendebarkannya adalah ketika berdepan dengan seekor buaya yang panjangnya lebih 15 kaki.
"Dengan hanya bersenjatakan tali, pasukan kami berjaya menangkap buaya tersebut, namun perjuangan untuk mengawalnya begitu cabaran.
"Buaya itu berputar-putar dengan ganas, cuba melepaskan diri, dan pada detik cemas itu, bot kami hampir terbalik.
“Ketika itu, saya dapat merasakan jantung saya terhenti. Buaya itu jauh lebih besar daripada bot kami. Andai berlaku satu pergerakan yang salah, mungkin kami akan menjadi mangsanya,” katanya.
Meskipun menyedari kerjayanya itu berisiko tinggi yang melibatkan nyawa, Chai tetap menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
Malah, pengalaman luas dan keberaniannya dalam melindungi penduduk Sarawak daripada ancaman buaya, beliau turut diberi kepercayaan oleh kerajaan Brunei untuk memindahkan buaya yang mengancam nyawa penduduk negara tersebut.
"Teknik dan cara yang digunakan sama seperti di Sarawak," katanya yang mempunyai pengalaman menangkap buaya selama tujuh tahun.