Cubaan membunuh anggota polis, suspek direman
KANOWIT-- Seorang anggota polis cedera selepas diserang seorang lelaki dengan senjata dipercayai kerambit yang enggan bekerjasama ketika ditahan dan diperiksa di jeti bot Sungai Kanowit, semalam.
Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Dennis Bunyam berkata, dalam proses ditahan dan diperiksa oleh anggota polis yang dijalankan sekitar jam 3.20 petang, suspek, 35, dikatakan bertindak agresif dan menyerang anggota bertugas.
"Dalam kejadian ini, seorang anggota cedera serius di tangan kiri dan bahagian perut.
“Anggota berkenaan dibawa ke Hospital Kanowit dan seterusnya dirujuk ke Hospital Sibu untuk proses rawatan lanjut,” katanya dipetik menerusi laporan TVS.
Mengulas lanjut, Dennis berkata, suspek cuba melarikan diri dengan menaiki bot menuju ke tengah Sungai Batang Rejang.
Namun, katanya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit berjaya mengesan suspek di atas bumbung bot dan sedang memegang parang dan kerambit.
Tegasnya, polis telah memberi amaran agar suspek menyerah diri namun dia melibas parang ke arah anggota.
"Polis terpaksa melepaskan tembakan dan mengenai kaki kanan suspek sebelum suspek berjaya ditangkap bersama senjata yang digunakannya,” jelasnya.
Tambahnya, hasil pemeriksaan air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Berikutan itu, katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, dan suspek direman sehingga 23 Sepetember ini untuk siasatan lanjut.