Buaya baham warga Indonesia ditembak mati, berjaya temukan mangsa dalam mulut reptilia tersebut
LAHAD DATU- Seorang lelaki yang hilang semasa mandi sungai dijumpai sudah tidak
bernyawa dalam mulut seekor buaya yang berjaya ditembak mati pasukan Jabatan Hidupan Liar Sabah hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mayat mangsa, Rusdi Tamba, 45, warga Indonesia dijumpai dalam mulut buaya terbabit disahkan meninggal dunia.
Jelasnya, sebelumnya, bomba menerima panggilan berhubung kes mangsa dibaham buaya sekitar jam 10.07 pagi yang dilaporkan berlaku di Ladang Rimmer Sungai Matamba, Jalan Silabukan.
Menurut saksi, mangsa seorang pekerja ladang sedang menjalankan aktiviti memancing di tepi sungai dan telah disambar buaya.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, buaya tersebut masih kelihatan di kawasan sungai 50 meter dari lokasi mangsa disambar, dengan keadaan mangsa berada di mulut buaya.
"Tindakan Jabatan Hidupan Liar melepaskan 5 das tembakan ke arah buaya tersebut.
"Setelah pihak Jabatan Hidupan liar mengesahkan buaya tersebut mati, pasukan bomba turun mengambil mangsa tersebut," katanya
Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia dan seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.
Manakala buaya sepanjang 15 kaki tersebut katanya telah diserahkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan selanjutnya.
Operasi ditamatkan pada jam 1.10 petang.