Bot bertembung: KPD Dalat ketuai SAR menyelam cari warga emas dikhuatiri lemas
DALAT -- Insiden pertembungan dua bot di Batang Oya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas yang dikhuatiri lemas menggunakan kaedah menyelam diketuai Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chunggat.
Kata Saga, kaedah menyelam ke dasar sungai dilakukan pasukan Skuba Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dalat bermula jam 2 petang.
"Sebanyak empat selaman dibuat untuk mengesan mangsa namun masih gagal.
"Arus sungai yang agak deras dan tiada penglihatan di dalam air menyukarkan pencarian," katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, turut sama dalam tugas pencarian selain PDRM IPD Dalat ialah Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Mukah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu lebih kurang 65 penduduk kampung berdekatan menggunakan dalam 40 bot perahu panjang.
"Kerjasama yang amat baik sekali. Tugas mencari menggunakan kaedah selaman dihentikan pada jam 4.30 petang sementara penduduk kampung meneruskan usaha mencari menggunakan onak duri rotan yang ditunda dengan bot perahu panjang" tambahnya.
Menurut Saga lagi, operasi SAR akan bersambung esok hari.
Terdahulu, seorang warga emas berusia 81 tahun dikhuatiri lemas selepas bot yang dikemudinya berlanggar dengan sebuah lagi bot perahu panjang.
Jelas Saga, kejadian itu dikatakan berlaku sekitar jam 7.20 pagi di sungai Batang Oya, iaitu antara Kampung Sua dan Kampung Klid.
"Mangsa mengemudi perahu panjang seorang diri menghala dari Kampung Klid menuju ke Kampung Sua sementara sebuah lagi bot perahu panjang yang dikemudi oleh seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) San San dari arah bertentangan.
"Setibanya di satu selekoh di Batang Oya, kedua-dua bot perahu panjang tersebut masing-masing tidak sempat mengelak antara satu sama lain lalu bertembung," katanya.
Tambahnya, akibat pertembungan itu mangsa jatuh ke sungai Batang Oya dan hilang dikhuatiri lemas.
Tegasnya, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 9.30 pagi dan seterusnya, memaklumkan pihak bomba dan APM.
Pada masa sama beliau turut bergegas ke tempat kejadian dan merupakan orang pertama sampai di tempat kejadian pada jam 11.15 pagi selain penduduk berdekatan.
"Usaha mengesan dan menyelamat mangsa di dasar sungai dimulakan dengan kaedah menggunakan duri onak rotan," ujarnya.