Askar sedang baring atas hammock terkena peluru sesat maut
SONG-- Seorang anggota tentera yang sedang berbaring di atas hammock terkena tembakan peluru sesat orang awam yang sedang memburu binatang hutan di kawasan hutan Batu 5 Jalan Balak Multiplus di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Song Song DSP Rowney Michael Jalak berkata, mangsa, Korporal Petrus Linggi Liman, 29, dikatakan yang sedang berbaring di atas hammock terkena tembakan di bahagian paha kiri dan punggung sebelah kiri.
"Mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Kapit untuk rawatan.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 7.43 pagi oleh Doktor Nur Alini Mustaman," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Rowney berkata, polis menerima panggilan berhubung kes itu sekitar jam 5.57 pagi.
Katanya, berdasarkan laporan itu, pada jam 2.45 pagi semasa pengadu berada di Markas Pengendali Batu Luking Kanowit telah terima panggilan daripada Pegawai Latihan Ketua Kompeni Alpha.
Jelasnya, pengadu dimaklumkan seorang anggota askar yang sedang menjalani latihan Taktikal Pasak Bumi di kawasan hutan di daerah Song terkena tembak orang awam yang sedang memburu binatang hutan di kawasan tersebut.
Tegasnya, kes masih dalam siasatan awal dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.