Anak kelahiran Kampung Terasi Simunjan teruja dapat tempahan kek lapis anyaman daripada Agong
KUCHING-- "Tidak pernah terfikir akan buat kek lapis anyaman untuk pemimpin tertinggi negara," luah seorang usahawan kek lapis anyaman yang berasal dari Kampung Terasi Simunjan.
Berkongsi detik terindah itu, Siti Halifah Mahmut, 47, yang kini menetap di Taman Melaban, Kota Samarahan berkata, tempahan khas daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim itu diterima dan disahkan pada 6 Mac lalu.
"Ketika menerima tempahan itu perasaan saya amat terkejut dan berdebar-debar. Ada juga rasa takut kerana bimbang tidak dapat membuat kek lapis anyaman yang terbaik untuk pemimpin tertinggi negara kerana saya masih baharu dalam bidang kek anyaman ini," katanya ketika dihubungi Sarawak Update
Tambah Siti Halifah, pada awalnya, tempahan itu melibatkan jumlah 100 kek lapis anyaman.
"Namun, disebabkan masa dan bimbing akan kualiti kek, saya hanya sanggup menerima tempahan 10 kek anyaman sebelum ditambah satu lagi kek anyaman atas permintaan," katanya sambil meluahkan rasa terujanya selepas menerima tempahan itu.
Bagi memastikan kek anyamannya berkualiti dan memenuhi cita rasa pembeli, Siti Halifah memberitahu, dia menyiapkan sendiri tempahan khas daripada Agong itu.
"Pada awalnya saya tidak tahu siapa yang membeli kek ini sebelum pihak yang menguruskan pembelian ini menunjukkan nama tetamu kehormat yang akan menerima kek tersebut.
"Memang terkejut dan takut ketika melihat nama yang ditunjukkan itu, siapa sangka pemimpin tertinggi Malaysia Yang di-Pertuan Agong akan membelinya," tambahnya lagi.
Mengulas lanjut, Siti Halifah berkata, dia mengambil masa enam hari untuk menyiapkan tempahan khas daripada Agong itu yang mana rekaan dan warna kek anyaman itu dipilih sendiri oleh pihak pengurusan.
"Justeru, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang telah mengurus jual beli kek lapis anyaman ini terutamanya pihak Yang di-Pertuan Agong," ujarnya.
Selain Yang di-Petuan Agong, Siti Halifah berkata, dia juga pernah menerima tempahan untuk tetamu kehormat Yang Dipetua Negeri Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada April lalu.
Jelasnya, itulah pengalaman berharga untuk dirinya sebagai pembuat kek lapis anyaman yang mungkin tidak ramai merasainnya.
Siti Halifah mula menceburi bidang kek lapis ketika berusia 25 tahun dan pernah berhenti seketika sebelum memulakannya pada 2023.
Kini dia mengusahakan kek lapis dan kek lapis anyaman sepenuh masa di kediamannya di Taman Melaban, Kota Samarahan.