Ada portal cuba burukkan Sarawak, dakwa anti-Semenanjung, monopoli minyak dan gas

KUCHING-- Sejak akhir-akhir ini, tuduhan mengatakan Sarawak anti-Semenanjung Malaysia dan merampas hak minyak dan gas daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kian menjadi-jadi.

Malahan, terdapat portal dalam talian dilihat menjadi batu api bagi menambah bahang bagi menghangatkan isu tersebut di platform media sosial.

Lebih menyedihkan digambarkan seolah-olah Sarawak satu-satuya entiti yang harus dipertanggungjawab dan dipersalah dalam isu berkenaan.

Dalam isu Sarawak didakwa anti-Semenanjung, sebuah portal dalam talian berbahasa Inggeris, Frontwires menyiarkan satu berita yang berajuk "A growing state in Malaysia: Sarawak worries the Federal Government".

Laporan itu seolah-olah menggambarkan Sarawak bersifat anti-Semenanjung sekali gus mengancam perpaduan dan kemajuan negara.

Malah, laporan itu juga mengatakan kelantangan Sarawak mempertahankan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut didakwa memberi kesan buruk kepada kerajaan persekutuan, ekonomi dan kestabilan negara.

Pandangan berat sebelah itu dikecam Senator Robert Lau Hui Yew yang menyifatkan laporan portal berkenaan tidak betul dan cuba memperdayakan rakyat.

"Sarawak mempunyai hak untuk memiliki sumber sendiri.

Saya bimbang artikel yang diterbitkan dalam media alternatif mengelirukan rakyat terutamanya mengenai usaha Sarawak dalam memperjuangkan hak dan autonomi di bawah MA63. 

"Orang ramai tidak boleh terpedaya dengan artikel ini," tegasnya dalam hantaran di Facebooknya.


Robert memberitahu, Sarawak sudah lama menjalankan perniagaan minyak dan gas sebelum pembentukan Malaysia lagi di bawah syarikat Shell.

Sarawak kini katanya sedang berusaha untuk mendapatkan semula apa yang menjadi miliknya pada awalnya adalah wajar.

"Pertama, ini adalah aset Sarawak, yang kekal sehingga Petronas ditubuhkan. 

"Kedua, janji kemajuan di bawah kerajaan baharu Malaysia tidak pernah direalisasikan. 

"Sarawak secara konsisten telah disenaraikan sebagai salah satu daripada tiga negeri termiskin di Malaysia dari 60 tahun yang lalu," katanya.

Tambahnya, di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ekonomi Sarawak berkembng dengan pesat dengan pengenalan dasar baharu berkaitan ekonomi hijau dan penubuhan syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros). 

"Sarawak mempunyai kemampuan untuk mengurus dan membangunkan sumbernya. Sarawak yang maju dan berjaya adalah baik untuk seluruh negara.

"Sarawak tidak meminta lebih daripada apa yang sepatutnya menjadi miliknya. Perjanjian Malaysia 1963 perlu dihormati," ujarnya.
Next Post Previous Post