28 penghuni tinggal sehelai sepinggang, dua unit rumah teres yang didiami di Jalan Layang-Layang musnah terbakar awal pagi tadi
SIBU -- 28 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas dua unit rumah teres dua tingkat yang dijadikan rumah sewa di Jalan Layang-Layang di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dengan bantuan BBP Sungai Merah bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 6.24 pagi.
"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kebakaran yang membabitkan dua unit rumah teres dua tingkat jenis kekal yang mana dalamnya terdapat 36 bilik yang dijadikan rumah sewa," ujarnya.
Adalah difahamkan bahawa 27 bilik berpenghuni manakala 9 lagi bilik merupakan bilik kosong dan tidak berpenghuni.
Setelah bertungkus-lumus memadam kebakaran, api akhirnya berjaya dikawal pada jam 7.35 pagi.
Mujurlah katanya kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuninya berjaya lari menyelamatkan diri.
"Punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami kesemua penghuni bagaimanapun masih lagi dalam siasatan," ujarnya.
Setelah api berjaya dikawal dan mendapati tiada berlakunya kebakaran berulang, maka pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 8.28 pagi sebelum bertolak balik ke balai.