11 tuntutan MA63 berjaya diselesaikan sehingga kini-Fadillah

KUCHING-- Sebelas tuntutan di bawah platform rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan sehingga kini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Jelasnya, sebelas tuntutan itu berjaya diselesaikan di bawah pentadbiran tiga Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Di bawah Perdana Menteri Kelapan (Muhyiddin), tuntutan yang diselesaikan adalah berkaitan Kuasa Kawal Selia Liquefied Petroleum Gas (LPG) kepada Kerajaan Sarawak.

"Di bawah Perdana Menteri Kesembilan (Ismail), tiga tuntutan diselesaikan adalah penyerahan Kuasa Ke Atas Pentadbiran Pulau Sipadan Dan Pulau Ligitan Kepada Kerajaan Negeri Sabah; Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) Dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan; dan Pemberian Kuasa (Empowerment) Mengenai Pelesenan Dan Penangkapan Ikan Laut Dalam Kepada Kerajaan Negeri Sabah Dan Kerajaan Sarawak.

"Di bawah Perdana Menteri Kesepuluh (Anwar), tujuh tuntutan berjaya diselesaikan iaitu Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak sebagai Jabatan Teknik; Penyerahan Kuasa Kawal Selia Bekalan Gas; Pindaan Akta LHDN 1995 [Akta 533] bagi Melantik Wakil Kerajaan Negeri Sabah Dan Sarawak Sebagai Anggota
Tetap LHDN.

"Selain itu, Pentadbiran Badan Kehakiman di Sabah dan Sarawak; Garis Panduan Khas Penyerahan Semula Tanah Direzabkan Bagi Maksud Persekutuan di Negeri Sabah dan Negeri Sarawak; Penyerahan Kuasa Kawal Elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Daripada Kerajaan Persekutuan Kepada Kerajaan Negeri Sabah; dan Cadangan Pindaan Perkara 95B Mengenai Ubah Suaian Bagi Negeri Sabah Dan Sarawak Mengenai Pembahagian Perundangan, PP," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksana Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sabah hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Tegas Fadillah, Kerajaan Madani sentiasa komited untuk memastikan tuntutan di bawah MA63 ini diselesaikan dengan segera demi kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya.

"Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah di atas kesudian untuk menjadi tuan rumah mesyuarat pada hari ini. 

"Ini merupakan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) kali pertama untuk tahun 2024.

"Terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya kepada barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak di atas komitmen yang diberikan dalam perkara ini," ujarnya.

Mengulas lanjut tentang mesyuarat itu, Fadillah berkata, MTPMA63 ini amat penting bagi membolehkan Kerajaan merencana tindakan-tindakan susulan yang pragmatik berhubung status tuntutan di bawah MA63 yang masih belum selesai dilaksanakan. 

"Atas komitmen itu juga, kita telah memutuskan untuk menambah baik struktur platform perundingan antara ketiga-tiga peringkat kerajaan dengan memperkukuhkannya melalui pelantikan keahlian baharu dalam platform MTPMA63," jelasnya.

Tambahnya, secara umumnya, terdapat empat pembentangan yang telah disampaikan dalam Mesyuarat MTPMA63 pada hari ini iaitu Pelaporan Status Terkini Kemajuan Tuntutan Di Bawah Perjanjian Malaysia (MA63); Pertambahan Bilangan Ahli Dewan Rakyat Dari Negeri Sabah Dan Negeri Sarawak.

Dua lagi, katanya, Perwakilan Kuasa Kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Untuk Melantik Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua Dan Guru Besar Bagi Mengisi Kekosongan Dan Pemangkuan; dan Obligasi Kewangan Persekutuan Di Bawah Senarai III, Senarai Bersama, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan Duti Setem Dikenakan Ke Atas Instrumen Pemindahan, Caj, Menyewakan Tanah di bawah Ordinan Tanah Sabah Dan Sarawak.

Selain itu, beliau memberitahu, perkara atau tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau dalam platform rundingan yang lain iaitu Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 yang dipengerusikan oleh beliau sendiri dan beberapa Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan tuntutan yang masih belum selesai tersebut diambil tindakan sewajarnya. 
Next Post Previous Post