Umpan dengan pemeriksaan kesihatan percuma sebelum diminta sejumlah wang untuk rawatan

KUCHING-- Seorang dikatakan kena kanser buah pinggang manakala seorang lagi didakwa tersumbat dua pembuluh darah utama jantung sebelum mereka diminta sejumlah wang untuk mengubati penyakit itu.

Menurut seorang pesara wanita, dia bersama adik bongsunya menerima tawaran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma di sebuah hotel di Kuching bersempena Hari Kebangsaan didakwa di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Selepas itu, kami menjalani pemeriksaan kesihatan menerusi satu skrin kecil. Adik saya dikatakan menghidapi kanser buah pinggang tahap satu.

"Saya pula dikatakan mengalami dua saluran darah arteri tersumbat iaitu satu 75 peratus tersumbat dan satu lagi 45 peratus dan menyebabkan banyak toksin di hati.

"Kami diberitahu penyakit itu boleh dibuang tanpa pembedahan dan ubatan kerana mereka mendakwa boleh membuangnya.

"Namun, perlu pergi ke pusat mereka di Jalan Lau King Howe tetapi perlu membayar RM33,000 untuk rawatan," katanya.

Tambahnya, mereka diberi diskaun dan hanya perlu membayar RM12,000 kerana mempunyai kad Kenyalang Gold dan pesara.

"Jumlah bayaran ini perlu dibayarkan segera untuk menikmati diskaun itu. Disebabkan kami sedikit ragu kami hanya membayar RM3,000 untuk pendahuluan dan selebihnya dibayar kemudian," katanya sambil menambah mereka kemudian menandatangani perjanjian.

"Adik kemudian menghubungi rakannya yang mana suami rakannya itu seorang doktor yang memaklumkan ia adalah satu penipuan.

"Berikutan itu adik memberitahu lelaki terbabit (suspek) bahawa mahu perjanjian kami dibatalkan dan memulangkan wang pendahuluan kami," tegasnya.

Malah, dedah mangsa, individu terlibat turut menggunakan logo dan nama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
  
Justeru, beliau meminta orang ramai berhati-hati dengan taktik penipuan yang menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma itu.

Sementara itu, difahamkan mangsa telah menerima satu pesanan mengenai perkara tersebut dan dimaklumkan bahawa KKM meluluskan peralatan yang digunakan kerana dianggap selamat yang mana ECCP ini boleh didapati di beberapa kemudahan kesihatan di Kuala Lumpur.

Dengan itu, mangsa menyifatkan individu terlibat dengan program pemeriksaan kesihatan percuma ini adalah taktik jualan yang tidak bertanggungjawab dan mengelirukan mangsa.
Next Post Previous Post