Uggah umum insentif RM2,000 kepada calon SPM 2024 jika peroleh 10A
BETONG-- Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan menerima wang tunai RM2,000.
Insentif tunai itu ditawarkan oleh Timbalan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis anugerah cemerlang di Dewan SMK Spaoh hari ini.
Beliau memberitahu, insentif itu diberikan bagi memberi galakan kepada para pelajar terutamanya calon-calon SPM 2024 untuk meraih keputusan yang cemerlang.
"Calon-calon SPM 2024 dari SMK Spaoh yang memperolehi 10A akan menerima insentif RM2,000," katanya pada majlis itu.
Pada majlis itu juga, Uggah turut mengumumkan geran RM350,000 daripada Agensi Pembangunan Wilayah Betong untuk menaik taraf perkarangan jalan sekolah berkenaan.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM15,000 daripada dana projek kecil luar bandar (MRP) bagi menaik taraf dewan sekolah tersebut.
Uggah yang ditemani isteri, Datuk Doreen Mayang hadir pada majlis tersebut.
Doreen merupakan timbalan pengerusi SABATI dan juga menyelia Program Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Luar Bandar SABATI/ PETROS DUN Bukit Saban.