TPM Fadillah berjaya bertemu semula dengan bekas guru besarnya SK St Mary, Sibu
KUCHING-- Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof meluangkan masa bertemu bekas guru besarnya di Sekolah Kebangsaan St Mary, Sibu hari ini.
Pertemuan dengan Sister Ignatia Soon, yang sudah berusia 84 tahun itu diadakan di Asrama Gereja Saint Peter’s Catholic di Kuching selepas Fadillah berjaya menghubungi bekas guru besarnya itu.
"Gembira dan terharu apabila setelah sekian lama, akhirnya saya berpeluang bertemu semula dengan bekas guru besar sekolah rendah saya dahulu.
"Pertemuan selama kira-kira 30 minit dengan Sister Ignatia Soon, bekas guru besar saya di SK St Mary, Sibu, mulai 1969 hingga 1974 (darjah 1 hingga darjah 6) ini, amat bermakna buat diri saya selepas beberapa kali saya cuba mengatur pertemuan berkenaan.
"Pertemuan dengan Sister Ignatia diadakan di Asrama Gereja Saint Peter’s Catholic di Kuching selepas saya berjaya menghubungi beliau," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Jelas Fadillah, Sister Ignatia menjadi guru besar SK St Mary antara 1968 hingga 1995 sebelum bersara dan bekerja di gereja di Kuching.
"Jasa semua bekas guru besar dan bekas guru-guru saya amat saya hargai.
"Terima kasih atas segala tunjuk ajar dah ilmu pengetahuan yang telah diberikan kepada saya," ujarnya.