Tipu tukar mata wang China: Peniaga import barangan di Kuching rugi RM300,000

KUCHING-- Seorang peniaga import barangan di Kuching rugi RM300,000 selepas menjadi mangsa kes penipuan pertukaran mata wang China (RMB).

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, lelaki berusia 20-an itu pada awal Jun 2024 semasa berada di Kuching telah tertarik dengan satu hantaran kenalan (suspek) dalam talian melalui aplikasi Wechat Moment yang menawarkan perkhidmatan pertukaran mata wang China.

"Mangsa telah berhubung dengan suspek untuk membuat pertukaran kepada mata wang china ke dalam aplikasi akaun Alipay. 

"Suspek menawarkan kadar pertukaran sebanyak 1.56 peratus dan menyatakan mata wang china akan dimasukkan ke dalam akaun Alipay. 

"Mangsa telah dimasukkan ke dalam satu group Wechat dan diarahkan oleh suspek untuk membuat pembayaran dan caj perkhidmatan pertukaran mata wang RMB," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mancha mangsa terpedaya dan telah membuat pembayaran secara pemindahan dalam bayar talian bermula daripada penghujung Jun 2024 sehingga awal Ogos 2024. 

Jelasnya lagi, mangsa telah membuat 19 transaksi wang secara berperingkat ke lapan akaun bank yang berbeza berjumlah lebih kurang RM300,000. 

"Mangsa membuat semakan di aplikasi akaun Alipay namun tidak menerima sebarang mata wang China RMB yang dinyatakan oleh suspek. 

"Mangsa telah disekat dan dikeluarkan daripada group Wechat dan akibat itu mangsa telah ditipu dan mengalami kerugian sebanyak RM300,000," ujarnya.
Next Post Previous Post