Ternakan empurau berpotensi tinggi, belia digalak ceburi bidang ternakan- Fadillah

KUCHING-- Masyarakat luar bandar khasnya golongan belia di Sarawak digesa mengambil peluang menerokai potensi besar ternakan ikan air tawar di darat terutama ikan empurau, semah dan sebagainya. 

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata,mengambil contoh ternakan ikan empurau, ia antara spesies ikan termahal dan yang bernilai tinggi.

"Ikan ini boleh didapati di sungai di Bahagian Kapit dan ini patut dilihat sebagai peluang ‘keemasan’ untuk generasi muda menceburi bidang keusahawanan sekali gus meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi masyarakat," katanya,

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkasnya ketika menerima kunjungan dari rombongan ahli Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Bukit Goram yang membuat Lawatan Sambil Belajar kepada beliau di kementeriannya, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Putrajaya, semalam.

Fadillah bergambar kenangan bersama 37 ahli SABERKAS Bukit Goram ketika membuat kunjungan kepada beliau di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sempena Lawatan Sambil Belajar SABERKAS Bukit Goram di Putrajaya, semalam

Menurut Fadillah, generasi muda yang berminat menceburi bidang ternakan air tawar ini boleh bekerjasama atau mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar-pakar daripada institusi pengajian tinggi (IPT) berkaitan teknik dan teknologi terkini dalam penternakan ikan air tawar seperti empurau. 

Pada masa ini katanya, fokus boleh diberikan kepada usaha mencari tempat atau lokasi bagi pembenihan ikan, kedua pemeliharaan dan pembesaran ikan empurau, semah dan sebagainya. 

“Pasarannya ketika ini ada tetapi bagaimana kita hendak memasarkannya. Kalau masih segar sekilogram (ikan empurau) di Semenanjung boleh mencecah RM1,000. 

“Ada empat restoran yang boleh membeli (di Semenanjung) pada masa ini tetapi ikan tidak cukup dan mereka yang memakannya semua daripada China dan mereka sanggup membayar sehingga RM2,000 ke RM4,000 untuk sekali makan sahaja untuk ikan empurau,” jelasnya.
 
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bagi golongan muda atau usahawan yang berminat menyahut cabaran ini, kementeriannya, boleh membantu dari segi menyediakan kemudahan tenaga boleh diperbaharui. 

“Untuk Kementerian saya malangnya kawasan yang saya jaga ini lebih kepada Semenanjung Malaysia dan Labuan sahaja. 

“Cuma kalau kita orang perlu kemudahan dan sebagainya, apa yang saya boleh lihat peluang yang ada ialah dari segi tenaga-tenaga boleh diperbaharui, sama ada tenaga solar atau pun biomass. 

“Kawasan kita orang banyak lobak (kayu-kayu yang tidak digunakan lagi) boleh sebenarnya untuk dikumpulkan menjadi biomass. Keperluan biomass pada masa ini banyak tetapi banyak diproses dan dieksport ke Korea dan Jepun. 

“Dan pada masa ini kita sudah banyak menggunakan biomass di Semenanjung dan permintaannya banyak sebenarnya, tetapi bekalan sik cukup. Itulah antara banyak peluang yang boleh dilihat dan yang saya boleh kongsikan dengan anda semua,” katanya. 

Selain perikanan ikan air tawar di darat, masyarakat juga boleh mengambil peluang dengan tanah yang luas dan masih banyak yang belum diterokai di Bahagian Kapit untuk aktiviti pertanian komersial. 

“Inisiatif ini (Lawatan) amat baik dan tahniah kepada semua yang membuat buat kunjungan hormat ini… untuk kita belajar, tanya apa perkembangan di tempat lain. 

“Kemudian boleh dibawa balik untuk kita mana yang sesuai boleh diguna pakai bagaimana kita hendak meningkatkan kehidupan rakyat di kawasan kita sendiri khususnya di kawasan kita orang semua (Kapit) tanah masih banyak peluang perniagaan masih banyak, dulu kalau hendak bertanam susah untuk nak dijual, pada masa ini jalan raya sudah ada yang boleh dihantar ke Sibu dan sebagainya,” jelasnya. 
Next Post Previous Post