Tempiaran lari ke hutan, enam ditangkap kerana sabung ayam

SRI AMAN-- Sekumpulan lelaki yang sedang leka menyabung ayam di kawasan tanah lapang di kebun Sawit, Jalan Ulu Skrang, Sri Aman bertempiaran lari apabila diserbu polis yang menyaksikan enam daripadanya berjaya ditangkap.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie berkata, enam suspek berusia antara 25 hingga 69 tahun ditangkap sekitar jam 3.30 petang tadi dalam Op Dadu Sabung Ayam.

"Semasa serbuan pasukan dalam kedudukan masing-masing di kawasan kelang sabung dan terus menjerit memperkenalkan diri "polis" dan menyedari kehadiran polis sekumpulan lelaki yang berada di kelang sabung telah melarikan diri. 

"Pasukan serbuan bertindak mengejar kesemua kaki judi dan berjaya menangkap enam suspek manakala yang lain berjaya melarikan diri ke dalam hutan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Selain tangkapan, jelasnya polis turut merampas tiga ekor ayam hidup, seekor ayam mati, seunit penimbang, satu papan catit pertaruhan, sebuah kerusi plastik, sebuah meja plastik dan dua bilah taji ayam.

Tambahnya, hasil siasatan kesemua tangkapan mengaku mereka ada terlibat di dalam aktiviti sabung ayam tersebut.

Tegas Mathew, kes disiasat di bawah Seksyen 73 (g) Prevention Of Cruelty to Animal (Veterinary Public Health Ordinance 1999).
Next Post Previous Post