Tangguh dahulu hajat melancong ke UK- Abdul Karim
KUCHING-- Rakyat Sarawak diminta menangguh sementara hasrat untuk melancong ke United Kingdom (UK) berikutan protes yang berterusan di beberapa kawasan di negara itu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini susulan kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London hari ini.
"Kalau boleh tangguh dahulu perjalanan untuk ke UK kerana keadaan di sana (protes yang berterusan di beberapa kawasan).
"Sekarang ini kita boleh dapat maklumat dengan lebih cepat di media sosial seperti CNN dan sebagainya untuk mengetahui situasi di negara tersebut," katanya ketika mengulas mengenai isu tersebut pada sidang media Persidangan dan Ekspo Global Kraf Borneo di sini hari ini.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London dalam satu kenyataan menasihatkan rakyat Malaysia yang melawat UK kurang daripada satu bulan untuk menghantar e-mel kepada Suruhanjaya Tinggi di lonmalaysian@kln.gov.my.
"Subjek e-mel hendaklah memasukkan hari terakhir pelawat di UK diikuti dengan nama dalam format YYYYMMDD NAMA (contohnya, 20240805 ABU BIN ALI jika hari terakhir ialah 5 Ogos 2024, dan nama adalah Abu bin Ali).
"Selain itu, kandungan e-mel harus menyertakan nama ahli keluarga yang turut serta, nombor Kad Pengenalan, nombor pasport, alamat di UK, nombor telefon dan tempoh tinggal di UK," kata kenyataan itu.
Selain itu, nama, nombor telefon dan hubungan dengan waris juga perlu disertakan.
“Bagi mereka yang menetap atau melawat UK lebih daripada satu bulan, daftar kehadiran anda melalui perkhidmatan e-Konsular Kementerian Luar Negeri melalui laman sesawang atau aplikasi mudah alih.
“Bagi pelajar Malaysia, pendaftaran boleh dibuat melalui platform pendaftaran Kementerian Pendidikan Tinggi di https://dohe.mohe.gov.my/mydata/login,” tambahnya.
Rakyat Malaysia di UK yang telah mendaftar di portal TalentCorp MyHeart dianggap telah mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, dan tidak perlu mengambil tindakan lanjut.
Menurut laporan media, pihak berkuasa UK menghadapi tekanan yang semakin meningkat untuk menamatkan rusuhan terburuk di England dalam tempoh 13 tahun, yang dicetuskan oleh serangan tikam di Southport pada 29 Julai.