SUKMA XXI platform perkasakan Sarawak ke arah fasiliti sukan berstandard antarabangsa

KUCHING-- Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 platform untuk Sarawak memperkasakan infrastruktur sukannya ke arah standard antarabangsa dalam persediaan menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia menyerlah dalam penganjuran SUKMA 2024.

"Beliau (PM Anwar) berkehendakkan negara malaysia menyerlah dalam sukan ini yang merupakan sebahagian daripada persediaan kita untuk 2027 kerana buat pertama kalinya sebuah negeri dalam Malaysia menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA dan kita telah sanggup menjadi tuan rumah bersaama untuk kita kendalikan Sukan SEA ini yang bertaraf antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyerahkan Bendera Negeri kepada Ketua Kontijen Sarawak SUKMA XXI di Hotel Raia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, Perdana Menteri juga akan datang ke Sarawak untuk menyempurnakan majlis penutupan SUKMA 2024.

"Semalam saya bersama Perdana Menteri dan beliau akan datang ke Sarawak untuk majlis penutupan SUKMA di mana beliau sebenarnya mempunyai acara antarabangsa yang agak penting tetapi dia memilih untuk datang ke Sarawak. Terima kasih Perdana Menteri," tambahnya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan insentif untuk atlet Sarawak yang memenangi pingat emas pada temasya sukan itu nanti.

"Insentif memang kita ada, saya akan berbincang dengan Kabinet untuk kita berikan insentif kepada mereka yang memperolehi emas.

"Saya tidak mahu menyebut jumlahnya sekarang, kita akan memberinya mungkin jumlahnya sama atau mungkin ia lebih baik," katanya.

Justeru, beliau berharap para atlet Sarawak dapat menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang SUKMA 2024 agar mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu menjadi juara keseluruhan.

"Kepada atlet Sarawak kita berharap mereka akan memberi komitmen yang jitu supaya mencapai impian kita, kalau boleh Sarawak mahu menjadi juara keseluruhan dengan punggutan pingat emas terbanyak," tegasnya.
Next Post Previous Post