SKM penting tingatkan tenaga kerja mahir negara, depani revolusi industri 4.0-Fadillah
KUCHING-- Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) penting dalam memastikan kualiti dan standard kemahiran tenaga kerja di negara ini dalam era globalisasi dan revolusi industri 4.0 yang menuntut kepada keperluan terhadap tenaga kerja mahir dan berkualiti yang menjadi kian mendesak.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, untuk itu kemahiran tenaga kerja perlu ditingkatkan bagi meningkatkan daya saing negara dan mengembalikan status Malaysia sebagai Harimau Asia.
Tegasnya, SKM mengiktiraf kemahiran yang dimiliki individu, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri.
"Program SKM ini membuktikan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) sentiasa komited dalam memperkasakan kakitangannya dengan memberi peluang untuk mereka meningkatkan ilmu pengetahuan.
"Ia juga manifestasi kepada dedikasi syarikat terhadap kecemerlangan warga kerjanya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di Kuala Lumpur hari ini.
Jelas Fadillah kerajaan juga mengiktiraf pentingnya bidang teknikal, vokasional dan kemahiran serta perlunya modal insan mahir.
"Melalui SKM juga kita dapat memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Mengenai IWK, beliau berkata, khidmat pembetungan IWK kepada 32 juta pengguna di seluruh Semenanjung Malaysia dan Labuan, menuntut tenaga kerja mahir dari segi teknikal, inovatif dan kreatif dalam mengaplikasikan teknologi terkini.
"Alhamdulillah pagi ini, saya akan menyampaikan sijil kepada 380 kakitangan IWK Sdn di Majlis Konvokesyen SKM 2024.
"Kita perlu meningkatkan mutu kerja dengan pekerja yang mahir, berilmu, kreatif, dan inovatif untuk mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah, cabaran serta sistem kerja," ujarnya.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri, Pengerusi IWK Ahmad Johnie Zawawi, Pengarah Pensijilan Kompetensi, Jabatan Pembangunan Kemahiran Ahmad Iskandar Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam.