Sektor tenaga termasuk CCUS antara dibincang pada mesyuarat dua hala dengan Singapura, Vietnam, Brunei Darussalam dan Jepun- TPM Fadillah

 

KUCHING -- Sektor tenaga seperti pembangunan hidrogen bagi penjanaan tenaga, pembangunan rangkaian Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), pembangunan kapasiti dan keupayaan dalam bidang tenaga nuklear antara yang dibincang dalam mesyuarat dua hala bersama Singapura, Vietnam, Brunei Darussalam dan Jepun semalam.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, perkara itu dibincangkan semasa mesyuarat dua hala dengan Singapura, Vietnam, Brunei Darussalam dan Jepun di Pusat Konvensyen Lima (LCC) di Lima, Peru, semalam, iaitu di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM) di bawah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) (14th APEC EMM). 

"Pelbagai perkara melibatkan hubungan kerjasama dua hala telah dibincangkan dalam pertemuan dengan Menteri Kanan Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) dan Kementerian Budaya, Komuniti dan Belia Singapura, Low Yen Ling; Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Vietnam, Nguyen Hoang Long; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II Brunei Darussalam, Pehin Halbi dan Naib Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Nobuhiro Yoshida.

"Perbincangan merangkumi pelbagai bidang di bawah sektor tenaga seperti pembangunan hidrogen bagi penjanaan tenaga, pembangunan rangkaian Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), pembangunan kapasiti dan keupayaan dalam bidang tenaga nuklear, potensi dan kerjasama dalam memperkukuh dan memperluaskan infrastruktur sambungtara elektrik bagi menyokong inisiatif ASEAN Power Grid," kataya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Tambah Fadillah, pertemuan berkenaan turut membincangkan mengenai peluang kerjasama dalam pembangunan persijilan halal oleh Vietnam, pembangunan kapasiti dan pelaburan SME oleh Singapura dan penganjuran Mesyuarat Peringkat Menteri ke-3 Asia Zero Emission Community (AZEC) oleh Malaysia pada tahun 2025. 

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran Menteri-Menteri berkenaan ke Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN dan merakamkan ucapan terima kasih di atas sokongan yang diberikan bagi kepengerusian ASEAN - Malaysia pada tahun 2025.

Terdahulu, Fadillah ketika menyuarakan pandangan Malaysia di sesi Perbincangan Menteri-Menteri: Memacu Peralihan Tenaga Merentasi Ekonomi APEC Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM) di bawah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) semalam telah menegaskan pentingnya kerjasama awam-swasta untuk peralihan tenaga.

Tegas beliau, peralihan tenaga kepada tenaga bersih di rantau APEC memerlukan strategi inovatif, kerjasama awam-swasta yang kukuh dan kerangka peraturan yang menyokong ekosistem inovasi yang didorong oleh penyelidikan. 

"Di Malaysia, Kerjasama Awam-Swasta penting untuk peralihan tenaga, dengan program seperti Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), Program Solar Berskala Besar (LSS) dan Skim Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu dan persaingan dalam pasaran tenaga hijau.

"Inisiatif ini bertujuan meningkatkan tenaga boleh baharu dalam campuran tenaga Malaysia kepada 70 peratus menjelang 2050.

"Saya telah menekankan komitmen Malaysia terhadap peralihan tenaga yang adil, inklusif dan mampan melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)," katanya.

Jelasnya, NETR yang dilancarkan pada Julai 2023, menekankan strategi dan teknologi inovatif untuk memastikan manfaat tenaga boleh baharu sampai kepada semua segmen masyarakat. 

"Pelan ini menggalakkan konsep pendekatan senegara (whole-of nation) yang melibatkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat, dengan memberi fokus kepada teknologi inovatif seperti hidrogen dan sistem simpanan tenaga bateri. 

"Saya turut menyuarakan penghargaan kepada Peru di atas hospitaliti terbaik sebagai tuan rumah dan kejayaan menganjurkan 14th APEC EMM," ujarnya.
Next Post Previous Post