Sejarah Sarawak perlu didokumentasikan-TPM Fadillah

KUCHING-- Sejarah Sarawak dari zaman penjajahan Rajah Brooke, sehinggalah tertubuhnya Malaysia, perlu didokumentasikan, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Jelasnya, ini kerana Sarawak kurang dipertontonkan dan kurang didokumenkan.

"Setakat ini, kalau kita lihat di peringkat kebangsaan sekalipun, sejarah Sarawak kurang dipertontonkan dan kurang didokumenkan. 

"Malahan kalau kita mengkaji di peringkat sekolah, kurang sekali bahan-bahan mengenai sejarah Sarawak dimasukkan dalam kurikulum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Amal Sempena Sambutan Hari Pahlawan 2024 anjuran Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR) di Kuching, malam Sabtu. 

Sehubungan itu, Fadillah mengucapkan tahniah kepada PVTKR di atas usaha mendokumenkan sejarah penubuhan Kor Renjer dan Sarawak Renjer yang telah banyak menyumbang kepada keselamatan dan keamanan negara khususnya di Sarawak.

Pada majlis sama beliau turut melancarkan buku "Agi Idup Agi Ngelaban" yang ditulis oleh Profesor Dr Neilson Ilan Mersat ; Dr Regina Garai Abdullah dan Lt Kol (B) Mohd Melintang Abdullah.

Mengenai majlis itu, katanya malam amal berkenaan adalah bagi memperingati jasa-jasa pahlawan yang terdahulu dalam mengamankan negara. 

Tambahnya, ia juga diadakan bagi mengutip sumbangan derma daripada orang ramai untuk tujuan kebajikan ahli dan membantu mereka yang kurang upaya.

"Terima kasih PVTKR khususnya Lt Kol (B) Mohd Melintang Abdullah, Presiden PVTKR kerana menjemput saya untuk bersama pada majlis malam ini. 

"Terima kasih atas jasa bakti, perjuangan dan pengorbanan semua pahlawan serta wira negara," ujarnya.

Turut hadir bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Jabu Numpang.
Next Post Previous Post