Sarawak tanggung separuh kos penganjuran Sukan SEA 2027-Hannah

KUCHING-- Sarawak tanggung separuh daripada RM700 juta kos bagi penganjuran Sukan SEA 2027, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau menjelaskan, setakat ini tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersetuju untuk menjadi hos bersama-sama Kuala Lumpur, bagi penganjuran Sukan SEA 2027.

"Ketiga-tiga negeri bersetuju untuk mengeluarkan kos dengan nilai keseluruhan penganjuran dianggarkan berjumlah RM700 juta.

“Sarawak bersetuju untuk menampung dalam 50 peratus kos penganjuran iaitu melebihi RM300 juta, Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang RM15 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi peka Tenaga Malaysia Energy Literacy Programme (MELP) bersama penggiat industri sukan di Majlis Sukan Negara, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hannah menjelaskan anggaran itu berdasarkan kos sewaktu menganjurkan Sukan SEA 2017. 

"Malah kali ini juga kita terima peruntukan yang ia dibiayai kerajaan negeri, jadi kerajaan Persekutuan tak tanggung banyak, jadi sebab itu kabinet bersetuju anjur Sukan SEA," tambahnya.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan media semalam memberitahu Malaysia bersetuju menerima tawaran Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA 2027.

"Keputusan ini dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah mengambil kira komitmen penganjuran bersama oleh tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang," kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, pihaknya juga menerima tawaran sebagai penganjur bersama dari beberapa negeri lagi, namun terpaksa ditolak kerana mereka tidak bersetuju untuk menanggung kos bagi menganjurkan temasya sukan dwi tahunan itu.

“Kita telah hantar surat kepada pimpinan negeri menjemput untuk jadi hos bersama. 

"Namun, hanya tiga negeri sahaja yang telah jawab bersama komitmen untuk menanggung kos. Ada negeri yang berminat tetapi mereka tidak bersedia beri peruntukan,” ujarnya lagi.
Next Post Previous Post