Sarawak rancang wujud dua insinerator, tangani isu pelupusan sampah lebih mampan
KUCHING-- Sarawak merancang untuk menubuhkan dua insinerator bagi pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan demi kelestarian alam sekitar di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dua insinerator itu bagi menampung sampah dari utara sampai ke selatan, yang mana juga dapat menghasilkan tenaga diperbaharui.
"Kita akan jalankan kajian terlebih dahulu yang dibarisi pakar-pakar termasuk pakar alam sekitar dan pakar tanah.
"Jika kajian ini dapat diselesaikan pada suku tahun 2025, pada 2026 ia boleh dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Ulang Tahun Bandaraya Kuching Ke-36 di Majlis Bandaraya Kuching Utara (MBKS) di sini hari ini.
Jelas Abang Johari, teknologi insinerator itu mengguna pakai teknologi yang sedia ada di Sweden kerana negara tersebut dilihat releven dengan keadaan di Sarawk.
"Kita nampak Sweden ada releven dengan kita kerana populasinya 5 juta, lebih kurang sama dengan kita di Sarawak," katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, teknologi pengurusan sampah itu bagaimanapun memerlukan jumlah sisa buangan yang munasabah.
"Kita akan menggunakan insinerator tetapi jumlah sisa buangan mesti banyak kerana kalau Kuching hanya 700 tan sehari. Jadi kita perlu jumlah yang munasabah yang kita kumpul di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong yang mana Betong ini dihubungkan dengan jalan pesisir utama kedua sekali gus memendekkan tempoh perjalanan Betong dengan Kuching iaitu 1 jam 40 minit.
"Jadi kita boleh kumpulkan sisa-sisa ini di kawasan tersebut dan insinerator kita akan kita letakkan ditengah-tengah zon tetapi lokasinya belum ditentukan kerana kita masih membuat kajian," katanya sambil menambah lokasi insinerator itu tidak jauh bagi memudahkan logistik.
Manakala di bahagian Utara pula katanya, akan meliputi kawasan Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri hingga ke Limbang.
"insinerator boleh memproses pelbagai sisa buangan seperti dari industri, perkilangan, domestik dan pepejal," katanya.
Insinerator adalah alternatif terbaik dalam melupuskan sisa pepejal kerana ia membabitkan ruang yang kecil berbanding tapak pelupusan, mengurangkan masalah bau dan isu leachate (air larut resap).