Sarawak beri dana RM25 juta melalui Affin Bank bantu sediakan pinjaman perniagaan khas untuk usahawan wanita

SIBU-- Kerajaan Sarawak menyediakan dana khas sebanyak RM25 juta menerusi Affin Bank kepada usahawan wanita dalam bentuk pinjaman perniagaan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat global.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia merupakan inisiatif baharu kerajaan negeri bagi membantu golongan wanita di negeri ini memperkasakan diri mereka dalam bidang perniagaan.

"Saya telah memberikan peruntukan khas kepada wanita Sarawak melalui Affin Bank di mana kita memberi deposit RM25 juta ke dalam Affin Bank.

"Dana ini akan digunakan khas untuk usahawan wanita yang mahu mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih luas hingga ke peringkat global melalui pinjaman yang bank ini boleh agihkan kepada usahawan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita 2024: "Sarawak Women in Innovation and Technology" di RH Hotel Sibu, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Abang Johari berharap usahawan wanita Sarawak dapat memanfaatkan inisiatif tersebut bagi memajukan diri mereka.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dan pasukan kementerian kerana telah berjaya menganjurkan majlis Sambutan Hari Wanita 2024.

"Kementerian wanita telah banyak melaksanakan dasar baru yang memperkasakan bukan sahaja wanita tetapi juga kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak

"Perkara yang penting di sini adalah dasar inovasi dan teknologi yang harus dapat memberi kesan yang positif kepada sumbangan wanita dalam dasar transformasi ekonomi kita pada hari ini," ujarnya.

Gambar Kredit Jabatan Penerangan
Next Post Previous Post