Sarawak belajar cara urus buaya dari Australia

KUCHING-- Sarawak kini menjalankan kajian dalam pengurusan buaya yang diguna pakai di Australia dalam menangani krisis habitat reptilia itu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kajian itu diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama delegasi kerajaan Sarawak ke Australia untuk mengkaji kaedah pengurusan buaya dilaksanakan negara berkenaan.

Beliau memberitahu, delegasi Sarawak itu berlepas ke Australia hari ini.

"Mereka akan mengkaji pengurusan buaya di sana bagi mengetahui bagaimana Astralia menguruskan populasi buaya di negara berkenaan.

"Kita mahu kaji bagaimana mereka mengurus buaya dan apa yang mereka lakukan terhadap buaya ini agar tidak melanggar undang-undang kerana buaya ini dikategorikan di bawah hidupan terancam kepupusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kongres Herpetilogi Dunia Ke-10 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Abang Johari menjelaskan, buaya di Australia mempunyai perbezaan di bahagian utara dan selatan negara tersebut.

Katanya, di utara, buaya hidup bersama kerbau dan reptilia ganas itu tidak memakan dan menganggu spesis kerbau.

"Bagaimana keadaan ini boleh wujud di mana buaya dan kerbau hidup dalam habitat sama tanpa menjejaskan antara satu sama lain.

"Ini yang kita mahu wujudkan di negeri ini di mana buaya tidak makan manusia," tegasnya.

Selain itu, beliau memberitahu, Sarawak juga mahu mengkaji sistem sungai di negara tersebut yang menjadi habitat buaya di situ.

Selain Awang Tengah, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh juga bersama delegasi Sarawak ke negara itu.

Baru-baru ini, Len Talif dipetik berkata, populasi buaya di Sarawak meningkat hampir dua kali ganda kepada kira-kira 25,000 dalam tempoh sembilan tahun.

Dedah beliau, kes konflik antara buaya dan manusia di Sarawak adalah purata enam kes setiap tahun. 
Next Post Previous Post