Sabah, Sarawak berhak dapat 35 peratus jumlah kerusi Parlimen jika cadangan persempadanan kerusi diluluskan

SHAH ALAM-- Sabah dan Sarawak berhak mendapatkan 35 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen yang diperuntukkan di seluruh negara sekiranya Dewan Rakyat meluluskan cadangan persempadanan kerusi pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada masa hadapan.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, perkara itu amat penting bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan menunaikan salah satu janji atau syarat terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di mana termanya sebelum ini menetapkan Sabah, Sarawak dan Singapura perlu diberikan peruntukan 35 peratus kerusi Parlimen di negara ini.

Bagaimanapun, Mazlan berkata selepas Singapura keluar dari Malaysia pada Ogos 1965, Sabah dan Sarawak hanya diberikan 26 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen di Malaysia sehingga sekarang.

Jelasnya lagi, pada saat ini, daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, sebanyak 165 kerusi atau 75 peratus berada di Semenanjung, manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi di negeri Borneo dengan masing-masing 26 kerusi di Sabah dan 31 kerusi di Sarawak.

"Sabah dan Sarawak berhak mendapat lebih banyak kerusi Parlimen berasaskan faktor geografi dan keluasan negeri yang besar serta jaringan pengangkutan yang kurang baik menyebabkan kedua-dua negeri itu memerlukan lebih ramai perwakilan sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahu pun Dewan Rakyat," ujarnya dipetik dalam laporan Sinar Premium.

Berdasarkan laman web SPR pula, kini terdapat tidak kurang 85 kawasan Parlimen mempunyai pengundi melebihi 100,000, yang jika kesemuanya dipecahkan kepada dua kawasan berpotensi menyaksikan pertambahan kerusi Parlimen daripada 222 kepada 307 kerusi.

"Justeru jika ditanya berapa jumlah paling ideal pengundi bagi setiap Parlimen di Semenanjung Malaysia, jawapannya ialah sekitar 50,000 hingga 60,000 manakala Sabah dan Sarawak serta luar bandar sekitar 15,000 hingga 30,000 pengundi.

"Oleh itu, saya berpandangan Malaysia perlu menambah bilangan kawasan Parlimen baru antara 60 hingga 70 kerusi Dewan Rakyat bagi mengimbangi pertambahan populasi penduduk di negara ini termasuk masing-masing lapan hingga 10 kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak," tambahnya.

Bagaimanapun, unjuran itu hanya menjadi realiti seandainya SPR berjaya menyiapkan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya lebih awal dengan cadangan kajian berkenaan mendapatkan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Beliau memberitahu, usaha pelaksanaan penambahan kerusi Parlimen adalah sesuatu yang sukar dielakkan pada masa ini susulan berlaku pertambahan mendadak jumlah pengundi di kawasan Parlimen tertentu.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sunway, Profesor Dr Wong Chin Huat pula, berpendapat persempadanan semula perlu dilakukan susulan pertambahan lebih enam juta pengundi baharu berikutan pelaksanaan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18.

Bagaimanapun jelas beliau, persempadanan itu tidak semestinya memerlukan pertambahan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), kecuali jika mahu menyamaratakan bilangan pengundi di negeri berkenaan.

Ujar Chin Huat, Perkara 113 dan Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan saiz pengundi yang ideal bagi setiap kawasan pilihan raya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menegaskan Kerajaan Sarawak terus memperjuangkan agenda untuk menuntut penambahan sekurang-kurangnya 35 peratus kerusi bagi wakil Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.

Katanya, ia bagi memastikan perwakilan yang seimbang di Parlimen selaras dengan semangat dan tujuan asal penubuhan Malaysia pada tahun 1963.
Next Post Previous Post