RM55 juta bina jalan raya baharu di Bau - Abang Johari

BAU -- Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Baharu SK Suba Buan di Bau, pagi tadi. 

Ketika menyampaikan ucapan di majlis perasmian tersebut, Abang Johari mengumumkan Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM55 juta untuk membina jalan baharu yang menghubungkan Kampung Suba Buan menuju ke Pekan Bau.


Beliau berkata, peruntukan itu termasuk projek pembinaan jalan raya baharu sepanjang 3 kilometer (km) serta sebuah jambatan baharu yang dianggarkan bernilai RM12 juta yang akan memberi manfaat dalam jangka panjang kepada penduduk kampung berkenaan, termasuk menambah bilangan murid di Sekolah Kebangsaan Suba Buan di Bau yang kini hanya sejumlah 65 orang murid.

Beliau menambah lagi “Ia sepatutnya menarik lebih ramai murid dari kampung berdekatan serta Bau kerana tidak jauh (dari Bau). Hanya 3km.

“Apa yang kita akan lakukan adalah membina sebuah jalan baharu untuk sekolah dan perumahan kampung itu,” kata beliau.
 
Abang Johari menambah lagi , ia turut berpontensi untuk membuka kawasan baharu serta membangunkan perumahan baharu bagi memindahkan penduduk kampung berkenaan yang berdepan dengan bencana mudah banjir.

“Jadi kita boleh buka kawasan untuk membangunkan kawasan perumahan delta supaya orang kampung boleh berpindah. Mereka tidak perlu tinggal di kampung mudah banjir, (dan) kawasannya yang rendah.

Kita perlu ada kemudahan untuk memindahkan mereka ke kawasan lebih tinggi dan untuk itu saya berpendapat kita bangunkan jalan,” jelas beliau.

Hadir sama adalah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pengangkutan II (Sungai dan Laut) yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, dan Ahli Parlimen Puncak Borneo.

Kredit Sarawakku
Next Post Previous Post