Premier Luluskan Peruntukan Tambahan untuk Tebingan Sungai Mukah dan Balingian

MUKAH -- Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, telah mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan bagi projek pembinaan tebingan sungai di Mukah dan Balingian dalam usaha memperindah dan memperkukuhkan kawasan tersebut.

Menurut Abang Johari, fasa pertama projek tebingan sungai Mukah telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM60 juta, manakala fasa kedua yang merangkumi kawasan hingga ke kuala Sungai Telian diperuntukkan sebanyak RM40 juta. Namun, selepas lawatan jurutera ke lokasi, didapati bahawa reka bentuk asal tebingan mungkin akan menjejaskan beberapa penempatan penduduk setempat.

"Saya telah arahkan supaya reka bentuk tebingan sungai ini diubah agar tidak menjejaskan masyarakat kita. Kita akan membina tembok di sungai tersebut, dan ini memerlukan penambahan kos untuk memastikan tebingan tersebut lebih cantik dan sesuai untuk kawasan Mukah. Saya telah meluluskan peruntukan tambahan tersebut," kata Abang Johari ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pemimpin bersama Rakyat di sini, hari ini.

Dalam ucapannya juga, Abang Johari turut memaklumkan bahawa beliau telah meninjau projek tebingan sungai di Balingian. Projek tersebut telah diluluskan, namun terdapat beberapa "missing link" yang memerlukan perhatian. 

"ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi, telah memohon supaya tebingan sungai ini disambung di seluruh pekan Balingian, dan perkara ini juga akan diluluskan," tambahnya.

Dengan kelulusan peruntukan tambahan ini, diharapkan projek-projek tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih efektif, sekali gus memanfaatkan masyarakat di kawasan Mukah dan Balingian.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai; dan Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib.

Kredit Sarawakku
Next Post Previous Post