Polis buru cukong cuba 'cuci' RM299 juta wang hasil judi online di Malaysia

FOTO Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR-- Seorang individu warga asing yang kini sudah dikeluarkan notis merah oleh polis antarabangsa (Interpol) dari pihak berkuasa negara asalnya dikesan memindahkan RM299.6 juta wang hasil judi online yang ke negara ini melalui perkhidmatan kewangan luar pesisir (offshore) Labuan.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali, berkata berdasarkan maklumat disalurkan institusi perbankan, individu berusia 30-an itu dikesan membuka akaun luar pesisir pada 2023.

"Individu berkenaan dikesan cuba mengelirukan pihak berkuasa dan memanipulasi kemasukan wang perolehan haram dari luar negara ke dalam sistem ekonomi negara melalui perkhidmatan kewangan luar pesisir (offshore) Labuan.

"Hasil analisa dan siasatan lanjut mendapati lelaki warganegara asing berkenaan memiliki kerakyatan lain, selain warganegara asal dan suspek cuba mengelirukan pihak berkuasa.

"Siasatan lanjut mendapati individu ini memperoleh hasil daripada aktiviti haram dengan mengambil komisen dalam wang yang dipertaruhkan oleh pemain judi dalam talian di platform miliknya," katanya pada sidang media di di Menara KPJ pada Selasa.

Mengulas lanjut, Muhammed Hasbullah berkata, suspek mempunyai pemain judi mencecah 10,000 orang membabitkan nilai perjudian sebanyak RM14.05 bilion. 

Jelasnya, sebahagian daripada keuntungan sebanyak RM371 juta hasil aktiviti itu dipindahkan ke negara ini.

Susulan itu, tegasnya, pasukan AMLA turut membekukan harta suspek yang dibawa masuk ke sistem ekonomi negara ini.

Jelas beliau antaranya ialah satu akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) saham di luar negara dengan 108,625 unit pegangan saham dianggarkan bernilai RM281 juta.

Selain itu, katanya turut dibekukan satu akaun escrow (akaun dana yang dipegang secara amanah) dengan nilai RM18.558 juta dikendalikan sebuah bank pelaburan tempatan yang dilesenkan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dan dua akaun bank tempatan berjumlah RM58,048.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bagi membanteras kegiatan aktivit penggubahan wang haram di Malaysia mahupun antarabangsa, kerjasama daripada sektor swasta amat penting terutama dalam menyalurkan sebarang maklumat aktiviti yang mencurigakan mengenai jenayah penggubahan wang haram kepada polis.

Justeru, beliau mengingatkan kepada semua bank luar pesisir supaya meningkatkan lagi proses due diligence (semakan wajar) atau tindakan 'kenal pelanggan anda (KYC).
Next Post Previous Post