Perahu tambang karam di Kampung Selampit, seorang pelajar hanyut 1km, tiga masih hilang

LUNDU-- Seorang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong, di sini, mengalami detik cemas apabila dihanyutkan satu kilometer selepas perahu tambang yang membawa 19 penumpang karam di sungai Batang Kayan, Kampung Selampit pagi tadi.

Dalam tragedi sekitar jam 6.15 pagi itu, tiga pelajar SMK Senibong dilaporkan hilang manakala 16 penumpang lain selamat.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata, tiga mangsa yang hilang dikenali sebagai Alsma Jithil, 14, Helena Fasha Petrus, 16, dan Vilkie Wilson, 15, kesemua pelajar SMK Senibong berasal dari Kampung Selampit, Lundu.

"Perahu penambang yang diperbuat daripada kayu papan dikemudi seorang lelaki membawa penumpang seramai 19 orang dari Kampung Selampit, menyeberangi Sungai Batang Kayan, terdiri 18 pelajar SMK Senibong, seorang awam dan sebuah motosikal.

"Apabila sampai di tengah-tengah sungai berkenaan, tiba-tiba perahu tersebut karam dalam keadaan sungai sedang pasang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, 14 penumpang berjaya menyelamatkan diri dengan cara berenang ke tepi manakala sebahagian lagi diselamatkan oleh penduduk kampung.

"Pada jam 6.30 pagi, seorang pelajar telah dijumpai dalam keadaan selamat oleh penduduk kampung dalam jarak lebih kurang 1 kilometer selepas dihanyut oleh air pasang dari lokasi kejadian," jelasnya.

Katanya, punca kejadian dipercayai disebabkan lebih muatan.

"Jarak jeti dari Kampung Selampit ke jeti seberang lebih kurang 80 meter, kedalaman sungai Batang Kayan lebih kurang 20 kaki ketika air pasang.

"Sejurus menerima maklumat tersebut, pasukan SAR telah ditubuhkan serta-merta," ujarnya.

Damataries memberitahu, pasukan SAR terdiri daripada 14 anggota dan pegawai PDRM Lundu, Bomba 14 orang, Angkatan Pertahan Awam Malaysia (7), Lembaga Sungai Sarawak (5), RELA (5), Polis Marin (5), Kementerian Kesihatan Malaysia (3), Unit Udara (2) dan penduduk kampung (12).

Usaha mencari ketiga-tiga mangsa masih diteruskan.
Next Post Previous Post