Pengusaha stesen minyak direman atas dakwaan terlibat sindiket penyeludupan diesel di Sibu dibebas dengan jaminan SPRM

SIBU -- Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan seorang pengusaha stesen minyak yang ditahan reman kerana disyaki terlibat sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dan merasuah pegawai penguat kuasa dengan ikat jamin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memetik laporan The Borneo Post, Majistret Oon Kork Chern mengeluarkan perintah itu ke atas lelaki berusia 42 tahun itu susulan tempoh reman suspek telah tamat hari ini.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, pengusaha stesen minyak itu ditangkap bersama adik perempuannya, 39, dan tiga individu lain pada Ahad di depoh simpanan diesel di Sungai Bidut semasa operasi 'Op Liter' yang dijalankan SPRM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup (KPDN).

Berikutan itu, dua beradik itu ditahan reman sejak Isnin lalu yang mana adik perempuannyat ditahan reman sehari sebelum dibebaskan Selasa lepas dengan ikat jamin SPRM.

Manakala tiga lagi suspek juga telah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebelum ini.

Menurut sumber, kelima-lima suspek dipercayai sebahagian daripada sindiket yang menyeleweng minyak diesel untuk nelayan yang dijual dengan harga lebih tinggi kepada pembeli di luar negara.

Sindiket itu dipercayai beroperasi sejak 2012 dan telah mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.

Mereka juga disyaki memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi mengelakkan tindakan kerana menyimpan diesel tanpa permit yang sah.

Dalam operasi tersebut, SPRM merampas wang tunai kira-kira RM3.7 juta, dua tongkang dan 30 tangki simpanan minyak yang dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter diesel.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, Seksyen 471 Kanun Keseksaan, dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Selain itu, SPRM turut menahan pembantu penguat kuasa dan pengarah sebuah agensi penguat kuasa berhubung kes sama. 

Namun, pengarah terbabit telah dibebaskan dengan ikat jamin SPRM sebelum ini sementara pembantu penguat kuasa terbabit dbebaskan dengan ikat jamin SPRM hari ini. 

Menurut sumber, SPRM juga membekukan semua akaun bank milik suspek terlibat dengan wang keseluruhan sebanyak RM36 juta.
Next Post Previous Post