Pengambilan Khas Guru Sarawak dibuka mulai hari ini

KUCHING-- Pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 (guru) bagi 2024 kini dibuka hari ini untuk anak Sarawak yang memiliki ijazah sarjana muda dari universiti awam dan swasta.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pengambilan itu merupakan inisiatif kerajaan Sarawak dalam menangani masalah kekurangan guru sekolah menengah dan rendah di negeri ini.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) telah bersetuju untuk menggunakan kumpulan guru tambahan di bawah Pengambilan Khas Sarawak dalam usaha menangani kekurangan guru di seluruh negeri.

"Pengambilan khas ini terbuka kepada semua graduan ijazah sarjana muda tanpa mengira bidang.

"Calon yang berjaya akan menerima kontrak selama dua tahun dan menjalani Diploma Pendidikan menggunakan pembiayaan sendiri di institut pendidikan guru (IPG) melalui Kursus Dalam Cuti (KDC)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 Negeri Sarawak bagi tahun 2024 di Bangunan Sarawak Skills, di sini pada Rabu.

Hadir sama Timbalannya Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Dr Les Met, Setiausaha SPP Radzi Hashim, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Adana Jed dan Pengarah Eksekutif Sarawak Skills Hallman Sabri.

Jelas Sagah lagi, selepas memperoleh Diploma Pendidikan, mereka akan ditawarkan jawatan mengajar tetap, tertakluk kepada saringan akhir oleh SPP.

Tambahnya, Pengambilan Khas Sarawak mengutamakan calon dari kawasan yang terdapat kekosongan bagi mengelakkan isu guru meminta pertukaran keluar dari sekolah yang ditugaskan selepas pelantikan dan penempatan.

"Jika calon berasal dari Baram, memenuhi kriteria dan lulus temu duga, calon itu akan ditempatkan di sekolah-sekolah di Baram.

Tegasnya, melalui langkah itu Sarawak akan dapat menghadapi kekurangan 2,373 guru menjelang 31 Disember 2024.

Katanya, penempatan guru baharu oleh KPM antara Julai dan November 2024, dijangkakan jumlah kekurangan guru akan dapat dikurangkan kepada 1,130 orang.

"Secara keseluruhan kesemua 30 pejabat pendidikan daerah (PPD) mempunyai kekosongan guru dengan enam yang teratas iaitu Serian, Daro, Kapit, Subis dan Saratok masing-masing mempunyai lebih 100 kekosongan guru.

"Kekosongan jawatan terbesar mengikut mata pelajaran adalah dalam Bahasa Inggeris, Matematik, Moral, Prasekolah, Bahasa Melayu dan Kelas Pemulihan, selain terdapat kekosongan dalam 22 pilihan mata pelajaran lain, termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)," ujarnya.

Oleh itu, beliau menggesa kepada calon yang berminat untuk mengemukakan permohonan secara dalam talian menerusi MySPP.

"SPP akan menapis permohonan dan calon yang layak akan menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) yang menilai perwatakan, personaliti, minat, kesesuaian, psikologi dan kesihatan mental.

"Temu bual secara bersemuka akan dijalankan pada minggu kedua September 2024. Keputusan akan diumumkan pada Oktober/November 2024 dengan penempatan disasarkan untuk November/Disember 2024," tambahnya lagi.

Beliau dalam pada itu memberitahu, inisiatif yang dilakukan itu selaras dengan dasar nisbah 90:10 guru Sarawak dan guru bukan dari Sarawak mengajar di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kementeriannya bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak akan menganjurkan jerayawara di seluruh Sarawak untuk mempromosikan jawatan kosong tersebut.
Next Post Previous Post