Penduduk Kampung Sebobok gagalkan cubaan sekumpulan lelaki bawa motosikal curi ke Indonesia

BAU-- Cubaan sekumpulan lelaki yang menunggang motorsikal dipercayai hendak membawa motorsikal curi ke negara seberang digagalkan penduduk Kampung Sebobok, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis Kempas berkata, kejadian itu sekitar jam 1.30 pagi di mana penduduk kampung tersebut melihat kumpulan lelaki masuk ke kawasan kampung secara mencurigakan. 

"Semasa ditahan, kumpulan lelaki tersebut melarikan diri dan salah sebuah motorsikal telah terbabas ke dalam parit dan meninggalkan motorsikal tersebut," katanya.

Jelasnya, hasil semakan mendapati motorsikal tersebut telah dilaporkan hilang pada 3 April 2024 di daerah Padawan.

"Satu kes kecurian motorsikal berjaya diselesaikan dengan keprihatinan penduduk Kampung Sebobok, Bau yang bertindak menahan sekumpulan lelaki terbabit. Tahniah buat penduduk Kampung Sebobok, Bau," ujarnya.

Justeru, katanya IPD Bau amat menghargai usaha penduduk Kampung Sebobok atas usaha yang dilakukan sehingga membawa kepada kejayaan menyelesaikan kes curi motorsikal tersebut.
Next Post Previous Post